sukan@hmetro.com.my
Georgetown: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memuji semangat juang dan kesepakatan terbaik anak buahnya sehingga berjaya mengatasi Penang FC 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kem pelawat membentuk formasi kompak di bahagian tengah dalam usaha menyekat kemaraan pasukan tuan rumah yang gemar melakukan hantaran jauh terutama pada separuh masa pertama.
“Alhamdulillah kita dapat permainan yang kita inginkan malam ini, kita tahu kekuatan mereka dalam melakukan hantaran bola jauh, jadi dalam perlawanan ini kita banyak bergabung di bahagian tengah.
“Kita sangat kompak di tengah sedangkan mereka tidak dapat mengatur serangan dalam babak pertama kita punya lebih peluang kerana kita terus menyerang dan buat larian-larian dari sayap juga,” katanya kepada ketika ditemui pemberita.
Fandi dalam pada itu meluahkan rasa hairan apabila jaringan penyerang skuad Tok Gajah Kpah Sherman pada minit ke-54 tidak dikira sebagai gol meskipun sudah melepasi gawang lawan.
“Sayang sekali kita tak tahu kenapa bola itu tidak diberi gol, sebab tak ofsaid, bola itu hantaran silang mungkin ada infringement (pelanggaran) tapi sebelum itu pemain mereka ada buat satu terjahan yang keras sekali.
“Tapi kita teruskan permainan sebab kita sedang menyerang, mungkin pengadil pun tidak meniup wisel tetapi saya rasa sangat baik sekali untuk Kpah,” ujarnya.
Jurulatih berusia 62 tahun itu menambah Penang memberi tekanan berat pada babak kedua perlawanan namun skuad Tok Gajah beruntung kerana mempunyai benteng pertahanan yang kebal sehingga gagal dibolosi sepanjang perlawanan tamat.
Beliau turut menyifatkan penyerang tuan rumah, Rodrigo Dias begitu berbahaya selain pasukannya berdepan detik sukar apabila pihak lawan menempatkan barisan pemain tinggi lampai mereka di bahagian belakang.
Namun, Fandi bersyukur anak buahnya bijak memanfaatkan segala kelebihan dimiliki meskipun ada di antara mereka pertama kali bermain di posisi berbeza berbanding peranan asal selain ada yang berdepan masalah kesihatan.
“Kita bermain dengan pasukan yang mempunyai tubuh badan tinggi di bahagian belakang, hanya Kpah boleh menyaingi tetapi hanya di sebelah tepi, kalau hantaran bola tinggi kita selalunya akan menghadapi masalah.
“Jadi kita harus cari pemain-pemain seperti hari ini (semalam) kita tengok Baqi (Baqiuddin Shamsudin) saya tak tahu Baqi boleh main sangat baik, dia tak pernah main bek kiri jadi syabas.
“Ibak (Ashar Al Aafiz) juga bermain dengan bagus cuma rupanya dia agak tak sihat tak tahu kenapa tiba-tiba dia muntah-muntah di lapangan (malam) tadi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


![Casemiro sebak, emosi dengan layanan penyokong Man United [VIDEO] Casemiro sebak, emosi dengan layanan penyokong Man United [VIDEO]](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/spo-o-casemiro28_HMfield_image_socialmedia.var_1777389958.jpg)

