Philadelphia: Pengendali Curacao, Dick Advocaat percaya anak buahnya kini memiliki keyakinan lebih tinggi menjelang aksi terakhir Kumpulan E Piala Dunia 2026 menentang Ivory Coast selepas berjaya mengikat Ecuador tanpa jaringan.
Bekas jurulatih Belanda berusia 78 tahun itu menyifatkan keputusan seri 0-0 itu sebagai adil walaupun mengakui Ecuador lebih banyak mencipta peluang sepanjang perlawanan.
“Saya fikir keputusan seri adalah keputusan yang tepat walaupun mereka memiliki lebih banyak peluang. Namun ia membuktikan kami mampu menyukarkan mana-mana lawan,” katanya.
Curacao masih berpeluang mara ke pusingan 32 terbaik, namun mereka dijangka memerlukan kemenangan mengejut ke atas Ivory Coast bagi menghidupkan peluang itu.
Penjaga gol Eloy Room menjadi wira apabila melakukan 15 penyelamatan ketika menentang Ecuador, rekod terbanyak dalam sejarah Piala Dunia bagi perlawanan yang tidak melalui masa tambahan.
Bagaimanapun, Advocaat turut berpuas hati apabila pasukannya beberapa kali berjaya mengancam menerusi serangan balas dan percaya pendekatan sama akan digunakan sekali lagi.
“Sebelum ini saya bergurau dengan mengatakan mungkin ini perlawanan pertama kami dianggap sebagai pasukan pilihan. Tidak, ia tetap akan menjadi perlawanan yang sukar.
“Kami berdepan tiga pasukan hebat, tetapi inilah pengalaman yang cukup istimewa buat Curacao. Ketika menentang Ecuador kami membuktikan kami bukan sekadar bertahan, malah tahu bila masa sesuai untuk menyerang dan kami akan melakukan perkara sama esok,” katanya.
Beliau turut menepis kebimbangan mengenai tahap kecergasan pemain selepas bekerja keras bertahan ketika aksi terdahulu dengan menegaskan semua pemain masih segar dan mempunyai tenaga mencukupi.
Sementara itu, pemain kelahiran Curacao, Tahith Chong berkata, semua pemain dalam skuad tanpa mengira dilahirkan di Belanda atau Curacao berkongsi matlamat yang sama untuk mengharumkan nama negara.
“Saya sudah penat menjelaskan perkara ini berulang kali kerana saya melihat 25 pemain lain sebagai saudara saya. Kami mahu mempamerkan aksi terbaik sebagai satu pasukan dan bagaimana orang luar melihat kami langsung tidak mengganggu fokus kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




