TOKYO: Kerajaan Metropolitan Tokyo merancang menjadikan sebuah kemudahan bawah tanah berhampiran Stesen Tokyo sebagai tempat perlindungan penduduk dan pelancong sekiranya berlaku serangan peluru berpandu balistik.
Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, berkata kajian berkaitan rancangan itu akan dimulakan pada tahun fiskal semasa hingga Mac sebagai persediaan untuk menaik taraf Tempat Letak Kereta Yaesu.
Kemudahan itu terletak antara dua hingga 11 meter di bawah tanah dan mempunyai keluasan kira-kira 13,000 meter persegi.
Pengubahsuaian dijangka merangkumi pemasangan pintu kalis letupan serta rak penyimpanan bekalan kecemasan, menurut pegawai kerajaan metropolitan.
Ia akan menjadi tempat perlindungan kecemasan bawah tanah kedua di ibu negara itu, selepas kemudahan penyimpanan bencana seluas 1,400 meter persegi di stesen kereta api bawah tanah Azabu-Juban.
Koike berkata, kemudahan tempat letak kereta Yaesu dipilih kerana lokasinya yang berhampiran dengan Stesen Tokyo, disifatkannya sebagai ‘pintu masuk ke ibu negara’ dan menjadi tumpuan ramai pengunjung.
Rancangan itu dibuat ketika Korea Utara berulang kali melancarkan ujian peluru berpandu balistik ke perairan serantau, termasuk Laut Jepun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini ketika Pyongyang terus membangunkan program nuklearnya.
Koike menyifatkan tindakan negara jiran itu sebagai ancaman serius yang tidak boleh diterima, selain menegaskan keperluan untuk melindungi nyawa dan harta benda penduduk Tokyo daripada serangan.- AGENSI

