PM Anwar kekal pendirian! Kerajaan MADANI tak pernah sokong aktiviti judi

PM Anwar kekal pendirian! Kerajaan MADANI tak pernah sokong aktiviti judi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Madani tidak pernah menyokong aktiviti perjudian, sebaliknya mengambil langkah mengurangkan kegiatan itu menerusi pengurangan jumlah cabutan khas nombor ramalan.

Beliau berkata, sebaik menerajui pentadbiran negara, kerajaan mengurangkan kekerapan cabutan berkenaan daripada 22 kali kepada hanya lapan kali setahun.

“Orang kata Anwar ini tauke judi. Saya (sebenarnya) tidak sokong orang judi.
“Sebelum saya jadi perdana menteri, semasa kerajaan dulu perintah, cabutan (nombor ramalan) setahun ialah 22 kali.
“Saya buat secara berperingkat. Saya turunkan daripada 22 kali, jadi lapan kali setahun.
“Kamu hendak maki saya pasal apa?” katanya, hari ini.
PM Anwar kekal pendirian! Kerajaan MADANI tak pernah sokong aktiviti judi

Kredit Foto: Danial Saad | Kosmo! Online

Anwar berkata, pengurangan jumlah cabutan itu adalah antara langkah yang diambil kerajaan bagi membendung kegiatan perjudian.

Beliau berkata, dirinya juga tidak seharusnya dipersalahkan atas dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyalahkan Anwar berhubung keputusan mahkamah berkaitan isu lesen premis perjudian di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memperkukuh nilai agama dan akhlak masyarakat menerusi pelbagai inisiatif, termasuk program pendidikan al-Quran serta pendekatan yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.

Beliau berkata, pembangunan negara tidak seharusnya hanya diukur menerusi kemajuan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan penghayatan agama dan pembentukan akhlak yang baik dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Anwar berkata Permatang Pauh sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam sejarah politiknya meskipun kini beliau merupakan Ahli Parlimen Tambun.

Beliau berkata, tidak akan sesekali melupakan kawasan itu yang menjadi saksi kepada permulaan khidmatnya sebagai wakil rakyat serta mempunyai nilai sentimental dalam sejarah perjuangan politiknya.

“Permatang Pauh inilah yang beri saya peluang dahulu. Saya jadi perdana menteri, betul, sebab wakil rakyat Tambun, tetapi (segalanya) bermula di Permatang Pauh. Takkan saya lupa.
“Ini kampung halaman kita. Saya pergi Port Dickson (Negeri Sembilan), Tambun beri kekuatan untuk kita, tetapi mulanya di sini, sebab itu kena turun ke Permatang Pauh kerana ini tempat saya, kampung halaman saya,” katanya.

Anwar mula memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982 dan menyandang kerusi itu hingga 1999 sebelum kembali memenanginya pada 2008 hingga 2015, menjadikan keseluruhan tempoh beliau mewakili kawasan itu kira-kira 24 tahun.

Beliau kemudian memenangi kerusi Parlimen Port Dickson menerusi pilihan raya kecil (PRK) pada 2018 sebelum beralih ke Tambun dan memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Sumber: Malaysiakini

Scroll to Top