Undang-undang warisan penjajah sekat mahasiswa mesti dihapuskan' – Anwar

Permatang Pauh: Undang-undang warisan penjajah yang menyekat kebebasan mahasiswa perlu dihapuskan bagi memastikan erti kemerdekaan dapat dihayati sepenuhnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata mahasiswa perlu diberikan ruang untuk bersuara dan menjalankan kegiatan secara lebih bebas kerana mereka merupakan generasi yang akan menentukan masa depan negara.

“Sebab itu minggu lalu saya umumkan untuk universiti, kita hapuskan akta universiti yang menyekat dan mengongkong kegiatan mahasiswa.

“Orang tua bagi pandangan pun banyak yang karut, anak muda bagi silap sikit nak kena halang … tak boleh, bagi dia ruang.

“Bukan makna kebebasan itu diberi tanpa batas, negara ini negara undang-undang. Tetapi saya tidak setuju tambah undang-undang untuk menyekat dan menakutkan mahasiswa kerana negara ini negara merdeka, undang-undang warisan penjajah mesti dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Beliau berkata golongan muda perlu diberi kepercayaan untuk mengemukakan pandangan dan idea, termasuk apabila berlaku kesilapan yang boleh ditegur melalui saluran sewajarnya.

Perdana Menteri berkata pendekatan itu penting dalam membentuk generasi muda yang berani, bertanggungjawab, dan mampu menyumbang kepada pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar merdeka.

Anwar berkata kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi turut bermakna rakyat mempunyai ruang menentukan masa depan negara sendiri.

Beliau berkata generasi muda perlu menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan, dan seterusnya melakar sejarah baharu dengan membawa Malaysia ke tahap lebih hebat serta dihormati pada peringkat antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top