KDM bukan ahli GRS, tidak timbul isu tarik sokongan – Hajiji

KOTA KINABALU – Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan ahli dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS). 

Beliau yang juga Pengerusi GRS mengulangi sekali lagi kenyataan Setiausaha Agungnya sebelum ini susulan tindakan KDM yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya. 

“KDM ini bukan ahli GRS, dia bukan dalam Gabungan Rakyat Sabah. Jadi tidak timbul mereka tarik sokongan atau tidak, itu dia punya pasal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai pengumuman KDM baru-baru ini yang telah menarik sokongan daripada kerajaan GRS.

Bagaimanapun, Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada KDM telahpun menyatakan sokongannya kepada kerajaan negeri sebelum ini.

“Yang penting di sini, KDM mempunyai satu wakil rakyat. Wakil rakyat di Paginatan ini telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri.

“Dia sokong kerajaan negeri. Ahli dia mungkin KDM, (tetapi) yang penting sokongan dalam dewan negeri,” katanya.

Mengulas mengenai perbincangan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), beliau memaklumkan rundingan termasuk pembahagian kerusi akan dilakukan bersama rakan parti lain dalam kerajaan namun dalam masa sama, mengingatkan bahawa GRS adalah peneraju utama kerajaan negeri.

“Sekarang kerajaan negeri dianggotai oleh GRS dan dalam GRS ini ada beberapa parti dan juga dianggotai oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Mereka sudah berada dalam kerajaan, jadi kerjasama itu akan kita teruskan dengan parti-parti yang menganggotai kerajaan negeri pada hari ini.

“Kita akan berunding dengan rakan-rakan kita dalam kerajaan, tetapi sayugia diingatkan bahawa GRS adalah peneraju utama kerajaan negeri.  

“Jadi kita akan bincang dengan mereka mengenai agihan kerusi yang akan dipertandingkan tetapi setakat ini belum lagi kita berunding dengan mereka.

“Kita berharap kawan-kawan kita dalam kerajaan, parti-parti itu mestilah rasional dan kita akan tempatkan calon-calon mereka yang boleh menang dalam pilihan raya nanti. Itu dia punya kriteria,” katanya.

Scroll to Top