Banjir Nepal: 'Siapa tahu Tuhan berikan keajaiban' – Anak berharap ayah selamat

lokman.khairi@hmetro.com.my

Batu Caves: “Siapa tahu Tuhan memberikan keajaiban. Saya tidak mahu menyebut ‘perkataan’ itu kerana dia ayah saya,” katanya K Divya Varshini, 29.

Divya adalah anak kepada V Krishnan, 74, dari Sungai Siput, Perak, antara rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat dahsyat di Nepal.

Divya berkata, bapanya begitu gembira sebelum memulakan perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash di Tibet yang sudah lama diimpikannya.

Katanya, itu adalah kali pertama bapanya ke kawasan berkenaan dan Krishnan pergi bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga.

“Dia menghubungi kami pada Isnin lalu dan beritahu semuanya berjalan lancar. Dia cuma kata penat dan keesokan harinya akan bergerak ke sempadan Nepal-Tibet.

“Dia kata selepas sampai di sempadan, dia akan telefon dan beritahu kami. Tetapi keesokan harinya, dia tidak telefon,” pada sidang media waris mangsa di sini, hari ini.

Divya berkata, keluarga pada awalnya tidak terlalu bimbang kerana menyangka bapanya mungkin sibuk menguruskan perjalanan sebelum menuju ke kawasan sempadan.

Bagaimanapun, kebimbangan mula memuncak kira-kira jam 8 malam Rabu lalu selepas mereka melihat video kejadian banjir kilat melanda kawasan sempadan Tibet yang tular.

“Kemudian barulah kami tahu kumpulan yang disertai ayah turut terputus hubungan.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima daripada keluarga anggota kumpulan lain, mereka dipercayai sudah berada di kawasan sempadan kira-kira jam 7.45 pagi pada hari kejadian,” katanya.

Divya berkata, sebelum berlepas, sebelum ini perkara yang paling dibimbangkan keluarga adalah keadaan kesihatan bapanya, terutama kemampuan untuk berjalan jauh dan menyesuaikan diri dengan paras oksigen di kawasan berkenaan.

“Kami langsung tidak menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku. Sebelum ini, apa yang saya risaukan hanya kesihatan ayah.

“Saya cuma risau sama ada dia mampu berjalan jauh dan mengenai paras oksigen.

“Kami bimbang perkara itu saja, bukan bencana seperti ini,” katanya.

Dia berkata, bapanya sememangnya begitu teruja untuk menunaikan perjalanan keagamaan yang dijadualkan mengambil masa 14 hari berkenaan selepas lama menyimpan hasrat untuk mengunjungi Gunung Kailash.

Katanya, kini keluarga hanya mampu menunggu sebarang perkembangan dan berharap insan tersayang serta kumpulan berkenaan berada dalam keadaan selamat.

Ditanya mengenai harapannya terhadap nasib bapanya, Divya seakan-akan tidak sanggup membayangkan perkara buruk menimpa insan yang disayanginya itu.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa. Siapa tahu Tuhan memberikan keajaiban.

“Saya tidak mahu menyebut ‘perkataan’ itu kerana dia ayah saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top