LATEST

Dewan Pameran A MAHA 2026 dibuka semula, penganjur sahkan keadaan selamat

Dewan Pameran A MAHA 2026 dibuka semula, penganjur sahkan keadaan selamat

Serdang: Dewan Pameran A (Dewan A) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dibuka semula kepada pengunjung petang ini selepas ditutup sementara susulan insiden kemunculan asap dan bau kurang menyenangkan.

Jawatankuasa Penganjur Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dalam kenyataan memaklumkan insiden pada 4.50 petang tadi telah dikawal dengan pemeriksaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama pasukan pengurusan keselamatan tapak mendapati tiada ancaman keselamatan berterusan.

Baca juga: Pasukan Amerika Syarikat buru Guardiola untuk ganti Pochettino

“Pihak penganjur ingin menegaskan insiden teknikal itu telah diatasi tanpa melibatkan sebarang implikasi struktur.

“Tiada kecederaan, kecemasan perubatan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Dewan Pameran A telah disahkan selamat dan dibuka semula untuk kunjungan berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu

.

Jawatankuasa itu memaklumkan tindakan pengosongan sementara dewan yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan standard di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) Keselamatan MAHA 2026 bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengunjung dan pempamer.

MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept di MAEPS melibatkan kira-kira 2,000 pempamer dengan sasaran kehadiran lebih empat juta pengunjung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news