BUKIT KAYU HITAM: Konflik keganasan termasuk letupan bom di tiga wilayah selatan Thailand minggu lalu tidak menghalang rakyat Malaysia meneruskan melancong ke negara jiran itu sempena cuti persekolahan.
Bagaimanapun, tinjauan Mingguan Malaysia mendapati trafik menuju ke kaunter pemeriksaan bergerak lancar dan tidak berlaku kesesakan teruk seperti kebiasaan cuti panjang sebelum ini.
Jika sebelum ini kenderaan bernombor pendaftaran tempatan berbaris panjang sejauh kira-kira empat kilometer (km), namun keadaan kali ini jauh berbeza apabila kesesakan hanya berlaku dalam pekarangan kompleks ICQS sahaja.
Sementara itu, pengembara yang menaiki motosikal secara berkumpulan turut dilihat menuju ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, biarpun sebelum ini berlaku kontroversi saman trafik pihak berkuasa Thailand di Hat Yai.
Bagi pengunjung dari Ipoh, Shahrul Hafiz Zamri, 40, berkata, dia bersama 10 ahli keluarganya telah merancang untuk ke Krabi sejak dua bulan lalu dengan memandu sendiri ke lokasi itu.
“Kalau ikutkan memang rasa risau sedikit dengan insiden yang berlaku tetapi selepas kami merujuk pelbagai pihak insha-Allah kami yakin dengan perjalanan ini.
“Lagipun, kejadian yang berlaku itu di Narathiwat, Pattani dan Yala, kami pula ke Krabi melalui Hat Yai. Namun, apa-apa pun kami akan sentiasa berjaga-jaga dan peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.
Shafiq Iqmal Md Zain, 30, pula berkata, mereka telah membuat persediaan rapi terhadap keadaan motosikal bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang oleh polis trafik Thailand.
Katanya, dia bersama rakan-rakannya pernah beberapa kali berkunjung ke Thailand sebelum ini dan tidak pernah disaman kerana kesalahan lalu lintas atau melibatkan komponen motosikal.
“Motosikal kami kebanyakan adalah mengikut spesifikasi asal kilang dan tidak diubahsuai terutama bahagian ekzos yang menjadi isu di Hat Yai tempoh hari.
“Jadi, kami yakin semuanya akan baik sahaja di samping terus memantau keadaan terkini tahap keselamatan di sana disebabkan insiden bom yang berlaku minggu lepas,” katanya.
Sementara itu, pengusaha syarikat insuran di Changlun, Ammar Wafiy Johari berkata, dia masih menerima tempahan pelanggan yang mahu mendapatkan perlindungan insuran kenderaan ke Thailand seperti biasa.
“Jualan saya agak baik seperti biasa sempena musim cuti sekolah ini, walaupun ada yang bertanya tentang situasi di Narathiwat tapi ramai yang hanya mahu ke Hat Yai atau Satun sahaja bila melalui Bukit Kayu Hitam,” katanya. – UTUSAN
