“Untuk menjadi seorang yang lantang dan bercakap kasar dengan orang adalah amat susah’.
Demikian luahan pelakon Husna Mustaffa ketika disoal mengenai wataknya dalam drama rantaian TV3, Salju Rindu Di Bumi Auckland.
Ketika ditemui XTRA, Husna berkata, membawakan watak antagonis bukanlah suatu yang mudah apatah lagi seorang pelakon itu bertanggungjawab untuk mempersembahkannya denga baik agar penonton dapat merasai watak tersebut.
Menurutnya, sebagai seorang yang ‘soft spoken’ dia mengaku amat susah untuk bercakap kasar dengan orang lain.
“Ini kali kedua saya bawa watak antagonis, saya memang jarang bawa watak ni selama saya berlakon.
“So, agak susah sedikit dan saya banyak belajar daripada Kodi Rasheed juga.
“Dan, memandangkan saya seorang yang soft spoken, untuk saya menjadi seorang yang lantang dan bercakap kasar dengan orang adalah amat susah sehinggakan saya sakit kepala, sakit badan fikir macam mana nak ‘color’ kan lagi watak tersebut,” katanya.
Ketika disoal mengenai batas pergaulan ketika berada di set penggambaran, Husna menjelaskan, sebagai seorang ibu kepada dua cahaya mata, dia amat menitik beratkan batas pergaulan.
Jelasnya, meskipun suami meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap dirinya, namun sebagai seorang isteri, ibu dan aktres, dia amat menjaga hubungan dengan orang sekeliling.
“Pada saya isu rumah tangga atau batas pergaulan tak ada masalah. Sebab saya sentiasa menjaga hubungan dengan orang sekeliling.
“Dan kita punya pekerjaan pun setiap benda ada batasnya. Jadi pada saya isu batas pergaulan di set memang tiada masalah selagi niat kita betul.
“Dan, alhamdulillah suami saya memang menyokong dan tak ada menghalang. Dia senang cerita, dia meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada saya begitu juga sebaliknya.
“Dalam industri kita ni, kalau orang kata banyak benda yang tak elok jadi sebenarnya tak. Apa jua pekerjaan sekalipun semuanya ada risiko sendiri, terpulang pada cara dan niat kita pekerja,” jelasnya.

Sekadar info, menerusi drama rantaian ini, Husna memegang watak sebagai Suri iaitu anak kedua dan anak kesayangan kepada Pak Talib (Shamsul Ghau Ghau).
Suri merupakan seorang yang mementingkan diri sendiri sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah bertindak jahat terhadap adik-beradiknya demi mendapatkan kehendaknya.
Selain Husna, drama sSalju Rindu Di Bumi Auckland ini turut dibintangi pelakon hebat seperti, Keith Foo, Riena Diana, Kodi Rasheed, Nabil Aqil, Shamsu Ghau Ghau dan ramai lagi.
Drama penuh emosi ini berlatar belakangkan keindahan bumi Auckland ini mengisahkan tentang kekeluargaan, cinta, dan juga penebusan.
Saksikan Tonton Original Series: Salju Rindu di Bumi Auckland secara eksklusif di platform penstriman Tonton melalui www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton setiap Isnin hingga Khamis, mulai 16 September 2024 hingga 31 Oktober.
Untuk rekod, drama ini mendapat sambutan luar biasa menerusi platform media sosial apabila meraih sebanyak 30 juta capaian setakat 10 episod tayangan.




