10 kali rumah kena banjir tahun ini

10 kali rumah kena banjir tahun ini

am@hmetro.com.my

Baling: “Tahun ini sudah 10 kali rumah ini dilanda banjir. Paling teruk minggu lepas air naik sehingga 1.5 meter sekelip mata,” kata Zakiah Ismail, 69, penduduk Kampung Bawah Gunung di sini.

Katanya, banjir yang berulang dalam tempoh yang singkat itu turut menyebabkan banyak kelengkapan rumahnya rosak sekali gus menanggung kerugian besar.

“Kejadian banjir kali kelima yang melanda baru-baru ini, saya bersama dua anak dan dua cucu terperangkap sehingga terpaksa diselamatkan anggota keselamatan dengan bot.

“Air masuk dengan cepat kerana rumah hanya 100 meter dengan Sungai Ketil,” katanya ketika ditemui hari ini.

Zakiah berkata, rumah kayu di tingkat atas turut rosak dan tidak boleh berteduh lagi.

Katanya, setiap kali banjir dia ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Tun Abdul Razak (baharu).

“Banjir kali kelima saya tinggal selama empat hari di PPS dan banjir yang keenam kami berpindah semula dan tinggal selama dua hari.

“Sampai hari ini rumah tidak terurus kerana bimbang berlaku bah kali ketujuh dan rumah masih dipenuhi selut di luar perkarangan rumah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ada pihak dapat membantu memulihkan sebahagian tingkat atas rumahnya maka mereka sekeluarga boleh berlindung apabila berlaku banjir.

Katanya, kalau tingkat atas diperbaiki mereka sekeluarga dapat naik ke atas sekiranya banjir, tetapi struktur kayu sudah reput dan tidak selamat lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top