am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) sudah memulakan rundingan bersama Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata rundingan itu berlangsung secara positif, namun keseluruhan prosesnya masih belum dimuktamadkan kedua-dua pihak.
“Rundingan ketika ini, masih di peringkat menentukan kaedah dan sebagainya dan prosesnya berlangsung secara positif.
“Ia turut membabitkan rundingan agihan kerusi dengan perincian mengenainya masih dibincangkan kedua-dua pihak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Musyawarah Nasional 2.0 – Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan TH di sini, hari ini.
Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan perbincangan tidak rasmi antara pemimpin PN dan BN sudah dimulakan sejak beberapa hari lalu, bagi membentuk persefahaman menghadapi PRN Melaka.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan supaya sebarang keputusan mengenai strategi dan kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka perlu mengambil kira sentimen tempatan.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, mengesahkan jajaran politik bagi menghadapi PRN Melaka akan dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat MKT pada 28 Ogos ini.
Sementara itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS mengesahkan, isu penyatuan ummah dan kerjasama dengan UMNO adalah antara usul penting yang akan dibincangkan pada muktamar parti itu, minggu depan.
“Banyak usul yang dibincangkan, antaranya penyatuan ummah serta kerjasama politik PAS dan UMNO adalah usul wajib yang akan dibincangkan dalam muktamar.
“Kita juga sudah dimaklumkan ada wakil UMNO akan menghadiri Muktamar PAS ke-72, tetapi belum tahu siapa dan perinciannya perlu ditanyakan kepada Ahmad Zahid,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

