Griezmann mampu pamer aksi lebih berkualiti – Simeone

Griezmann mampu pamer aksi lebih berkualiti – Simeone

Madrid: Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, memberikan segala-galanya kepada pasukan kebangsaan Perancis, kata pengurus Atletico, Diego Simeone.

Simeone menambah bahawa pengunduran Griezmann dari arena antarabangsa akan membolehkannya beraksi pada tahap yang lebih baik untuk kelab.

Griezmann, 33, mengumumkan pengunduran dari Les Bleus bulan lalu selepas menjadi pemain paling penting bagi pasukan selama satu dekad, membantu mereka menjuarai Piala Dunia 2018 dan meraih tempat kedua pada 2022.

Walaupun peranan Griezmann sangat penting dalam pasukan Perancis, pangkat kapten diserahkan kepada penyerang Kylian Mbappe.

Mbappe diboo oleh penyokong semasa kekalahan mengejut Real Madrid 0-1 kepada Lille dalam perlawanan Liga Juara-Juara awal bulan ini kerana memilih untuk tidak beraksi semasa rehat antarabangsa.

Atletico akan menentang pasukan Perancis, Lille, selepas kekalahan memalukan 0-4 di tangan Benfica dalam perlawanan Liga Juara-Juara terakhir dan kemenangan 2-1 di laman sendiri ke atas pasukan Jerman, RB Leipzig, dalam aksi pembukaan.

“Saya percaya Antoine memberikan semua bakat, permainan, dan kepimpinannya kepada Perancis. Dia memenangi pelbagai gelaran, mengembangkan gaya permainan yang memajukan pasukan Perancis, dan memberikan segalanya untuk negaranya hingga hari dia bersara sebagai pemain yang menonjol,” kata Simeone dalam sidang media.

“Hal yang sama juga berlaku dengan kami, dan dia pemain yang sangat penting bagi kami. Dia tidak akan menghadapi perlawanan antarabangsa yang biasanya memberi tekanan besar pada kakinya selepas banyak bermain, dan kami berharap dapat terus menikmati semua potensi yang ada padanya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top