Glasgow: Sukan Komanwel Glasgow 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni, awal pagi tadi menerusi sambutan meriah dengan muzik, tarian dan perpaduan sebelum “baton” penganjuran diserahkan kepada Amdavad, India, untuk edisi 2030.
Majlis penutup di The Hydro berdurasi 90 minit bertemakan “A Concert of Celebration”, memberi penghormatan kepada atlet, sukarelawan dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan temasya tersebut, sambil mempamerkan identiti muzik dan budaya Glasgow.
Penyanyi merangkap penulis lagu Scotland Sandi Thom dan kumpulan dram tradisional Clann An Drumma, membuka tirai persembahan dengan lagu Proud To Be From Scotland ketika arena diterangi untuk memaparkan pentas berbentuk Saltire yang melambangkan titik pertemuan bagi negara dan budaya seluruh Komanwel.
Penyanyi Australia Delta Goodrem, kemudiannya mengalu-alukan kedatangan atlet ke dalam arena dengan medley lagu-lagunya, yang menandakan kepulangannya ke pentas Sukan Komanwel 20 tahun selepas membuat persembahan di Melbourne 2006.
Goodrem membuat persembahan sambil 74 orang sukarelawan membawa masuk bendera negara dan wilayah yang mengambil bahagian ke dalam arena, sebelum beliau menyertai penyanyi Scotland Cammy Barnes, kumpulan koir dan pipers, untuk dendangan lagu You’re The Voice.
Acara diteruskan dengan segmen-segmen yang meraikan perhubungan, warisan budaya Glasgow dan sumbangan para atlet, sukarelawan, penganjur serta penonton sepanjang temasya tersebut berlangsung.
Semasa acara penyerahan rasmi, bendera Scotland dan India dibawa masuk dari arah bertentangan di pentas berbentuk Saltire, dengan bendera Sukan Komanwel yang berlipat dibawa di belakang bendera Scotland ketika penyanyi Shereen Cutkelvin menyampaikan persembahan yang penuh emosi.
Bendera Sukan Komanwel diturunkan dan diserahkan kepada Lord Provost Glasgow Jacqueline McLaren, sebelum diserahkan kepada Naib Pengerusi Sukan Komanwel Scotland Susan Jackson, pemain bola jaring Scotland Emily Nicholl dan Presiden Sukan Komanwel Dr Donald Rukare.
Rukare kemudiannya menyerahkan bendera itu kepada bintang rejam lembing India Neeraj Chopra, yang menyampaikannya kepada Presiden Persatuan Sukan Komanwel India PT Usha, sebelum Timbalan Ketua Menteri Gujarat Harsh Sanghavi menerima dan menyimpannya, sekali gus menandakan secara rasmi Amdavad sebagai bandar tuan rumah yang seterusnya.
Penyerahan tersebut disusuli dengan persembahan kebudayaan tiga babak yang memperkenalkan visi India untuk Sukan Komanwel 2030, dengan menggabungkan muzik dan tarian Scotland serta India, bagi menyampaikan mesej perpaduan merentasi pelbagai budaya.
Putera Edward, Duke of Edinburgh, yang mewakili Raja Charles III, kemudiannya mengisytiharkan temasya tersebut ditutup secara rasmi.
Glasgow 2026 menampilkan kira-kira 3,000 atlet dari 74 negara dan wilayah yang bertanding dalam 215 acara dengan pingat, merangkumi 10 jenis sukan, termasuk enam sukan para, di empat lokasi pertandingan.
Ia menandakan kali keempat Scotland menjadi tuan rumah Sukan Komanwel dan kali kedua Glasgow menganjurkan temasya pelbagai sukan itu, selepas edisi 2014.
Malaysia menamatkan kempennya pada kedudukan ke-10 dengan kutipan lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




