puterialia@hmetro.com.my
Bukan mudah untuk terus relevan dalam industri muzik tanah air menyebabkan kumpulan metal, XPDC Kita Peng Yu (KPY) kekal mempertahankan identiti muzik asal yang mendapat sambutan baik.
Bagi anggota kumpulan ini, prinsip muzik tidak akan dikompromi walaupun berdepan perubahan cita rasa pendengar.
Meskipun industri muzik terus berubah mengikut peredaran zaman, XPDC KPY memilih berpegang teguh pada identiti muzik yang membina nama mereka sejak sekian lama.
Pemain bass kumpulan itu, Zuar berkata, mereka tegas dengan pendirian untuk kekal dengan identiti muzik asal dan tidak berhasrat untuk mengikut arus permodenan semata-mata mahu menarik minat golongan muda.
Menurut Zuar, dia tidak pernah memikirkan perkara itu, mahupun merancang untuk menjalinkan kolaborasi bersama mana-mana kumpulan rock yang baharu.
“Setakat ini kami tidak pernah (terfikir). Kami tetap kekalkan identiti kami. Yang lama tetap lama juga. Kami tidak ada kolaborasi dengan kumpulan muzik yang baharu.
“Mereka pun tidak boleh menghayati muzik kami kerana mereka generasi baharu. Namun begitu, bagi saya sekurang-kurangnya separuh daripada golongan muda ini sudah mula meminati muzik kami,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert XPDC Kita Peng Yu Headbang Live & Loud di Odeon Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Katanya, senario itu tidak menjadi masalah kerana peranan generasi terdahulu amat penting dalam memberi pendedahan mengenai warisan muzik rock tempatan kepada golongan muda.
“Itu perkara biasa bagi generasi baharu. Generasi yang lama akan menerangkan (genre muzik) kepada generasi yang baharu. Setakat konsert yang kami anjurkan, anak muda datang dan menari di depan pentas.
“Mungkin bukan semua, tetapi sekurang-kurangnya mereka menunjukkan minat terhadap muzik kami,” katanya.
Dalam pada itu, XPDC KPY pernah menerima tawaran daripada penggiat seni baharu untuk menjalinkan kolaborasi, namun kekangan jadual menjadi penghalang utama kerjasama berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai pengaruh muzik mereka, Zuar berkata, pembabitan dalam acara kemasyarakatan seperti karnival terbukti berjaya menarik penonton daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.
“Kami ‘perform’ di karnival pun dah cukup, semua golongan tak kira, tua atau muda, semua lihat kami ‘perform’
“Kalau kami buat konsert sahaja pun, budak-budak tetap akan tengok juga. Kami dah biasa ‘perform’ di karnival, memang untuk masyarakat dari pelbagai peringkat usia,” kongsinya.
Meskipun begitu, XPDC KPY tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak pada masa akan datang, malah menyambut baik kolaborasi yang mampu melebarkan empayar muzik mereka.
“Mungkin persembahan seterusnya ada yang mahu berkolaborasi dengan kami, dan tiada masalah. Kami lebih suka.
“Sasaran utama kami adalah memastikan muzik XPDC KPY dikenali oleh pelbagai peringkat usia dan bukan hanya tertumpu kepada satu golongan pendengar,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu, XPDC KPY mengesahkan belum bercadang menerbitkan album penuh berikutan perubahan aliran industri muzik tempatan yang kini disifatkan tidak menguntungkan.
“Kami ada lagu single berjudul Satu Arah. Kalau untuk album, bagi saya sudah tidak laku.
“Kalau kita melabur besar-besar buat album ribuan ringgit tetapi tidak ada pulangan, buat apa? Perkara itu tiada impak. Cukup sekadar buat single untuk orang mengenali kami.
“Namun, untuk album, memang tidak akan buat pada zaman ini. Sama sahaja dengan artis lain, orang pun sudah tidak buat album lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Zuar berpandangan perancangan untuk menghasilkan album baharu disifatkan kurang praktikal berikutan trend peminat masa kini yang lebih dahagakan persembahan lagu ‘hits’ lama berbanding karya baharu.
“Kami kekal dengan pendirian bahawa penerbitan album fizikal baharu tidak lagi memberikan sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak,” katanya.
Berada dalam industri seni selama lebih tiga dekad, katanya, XPDC KPY memilih untuk mengekalkan keharmonian yang menjadi ruang kepada mereka dalam mencari rezeki.
“Semua ini membuka peluang pekerjaan. Di sana pun ada (rezeki), di sini pun ada. Kita tidak boleh nak bantah apa-apa.
“Masing-masing membuka peluang pekerjaan untuk satu sama lain, tidak perlu nak berbalah. Jadi, kita kekal saja, tidak ada masalah pun antara kami,” kata Zuar.
Sementara itu, pemain dramnya, Amy berkata, peminat yang hadir ke konsert kumpulan berkenaan lebih teruja untuk mengimbau kenangan menerusi seleksi lagu yang penuh nostalgia.
“Bagi saya, biasanya untuk kumpulan macam kami yang sudah wujud lebih 30 tahun dalam industri, peminat yang datang nak lihat konsert, mereka nak dengar semua lagu yang ada nostalgia dalam diri mereka.
“Saya dengar Datuk M Nasir pernah kata, ada band lama datang nak buat album (baharu). Dia kata lagu lama pun tidak habis lagi nak main, buat apa nak buat lagu yang baharu?
“Sama juga kalau kita pergi lihat persembahan artis lain, contohnya Datuk Jamal Abdillah atau Datuk Seri Siti Nurhaliza, kita mesti nak dengar lagu ‘hits’ mereka. Kalau buat lagu baharu, ia akan mengambil masa.
“Kalau ada peluang untuk buat single baru, Alhamdulillah. Ini pun bergantung kalau ada penaja, kami boleh buat,” katanya.
XPDC KPY yang dianggotai Zuar, Arry selaku vokalis, Jeff (gitar) dan Amy (dram) bakal menggegarkan Odeon pada 22 Ogos depan dengan membawa lagu daripada album Metal 60’an.
© New Straits Times Press (M) Bhd




