Lelaki tayang aksi 'zig zag' diperintah jalani 100 jam khidmat masyarakat

Lelaki tayang aksi 'zig zag' diperintah jalani 100 jam khidmat masyarakat

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, memerintahkan seorang lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘zig zag’ menjalani hukuman khidmat masyarakat 100 jam selama setahun.

Majistret Suhaila Shafi’uddin mengeluarkan perintah terhadap tertuduh, Halim Yusof, 20, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya, selari dengan Seksyen 293 (1) (e) Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh diwajibkan mematuhi jadual aktiviti khidmat masyarakat yang ditetapkan JKM serta menetap di alamat yang dinyatakan.

Mengikut pertuduhan, dia yang kini bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi didakwa menunggang motosikal tanpa kecermatan dan perhatian di Kilometer 19 hingga 20, Jalan Kluang-Ayer Hitam, di sini, jam 2 pagi, 12 Februari tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan 2020) yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 dan penjara selama 12 bulan.

Berdasarkan fakta kes, polis yang menjalankan rondaan terserempak dengan tertuduh yang sedang menunggang motosikal sambil meletakkan dagu atas meter.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Kamarularifin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top