am@hmetro.com.my
Pix : Najmi Nor’Azam
Kulai: Pengundi terutamanya orang muda diingatkan tidak mudah terpedaya dengan janji bulan dan bintang selain hasutan yang mengelirukan terhadap pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi BN Johor berharap, rakyat belajar daripada pengalaman lalu apabila ditawarkan dengan pelbagai janji, namun tidak ditunaikan sehingga kini.
Beliau mengambil contoh apa yang berlaku kepada rakyat Simpang Renggam apabila bekas Ahli Parlimen kawasan itu (Dr Maszlee Malik) menabur pelbagai janji, tetapi tidak ditunaikan, sebelum memilih melarikan diri dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
“Pada PRU 2018, pelbagai janji manis yang dibuat oleh pihak sana untuk meraih undi. Dekat kawasan saya sendiri, Simpang Renggam, dijanjikan kepada pengundi, tol percuma, dia tunaikan janji atau tidak?
“Orang Simpang Renggam kata sampai kepala basah. Basah sebab apa? Kena kencing? Dijanjikan bulan dan bintang. Selain tol percuma apa? PTPTN? Dah tunai ke belum? Apa lagi dia janji? Minyak? Dah turun ke belum?
“Hari ini, dia lari ke kawasan lain, mana? Dia lari ke Puteri Wangsa, nak ‘basahkan’ orang kat sana pula,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Kulai di Dataran Flat Cengal, Taman Putri di sini.
Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Onn Hafiz berkata, calon parti lawan juga menggunakan kaedah menghasut yang mengelirukan rakyat.
“Baru-baru ini, dia hasut pula orang di sana (Puteri Wangsa) kata jalan di Johor ini berlubang, tetapi jalan dia maksudkan itu jalan persekutuan, bukan jalan negeri.
“Itulah MO (modus operandi) mereka, itulah cara mereka kempen, janji bulan bintang dan menghasut.
“Sama juga di sini, Arthur (penyandang kerusi DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern) kata apa? Dia kata tak dapat peruntukan dari kerajaan negeri. Akhirnya ada rakaman, dalam dunia digital ini, apa saja kita cakap ada rakaman,” katanya.
Onn Hafiz sempat mengingatkan semua calon supaya tidak cakap banyak sepanjang kempen pilihan raya bagi mengelakkan daripada menipu rakyat.
“Sebab itu saya ingatkan orang politik ini jangan cakap banyak. Tengah kempen ini cakap pendek-pendek sahaja. Kadang-kadang sebab dah naik ‘sheikh’, itu yang sampai sanggup menipu rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera BN bahawa mereka mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan pengundi khususnya orang muda mengundi parti berkenaan.
“Dulu 2018, anak-anak kita ada yang duduk KL (Kuala Lumpur), ada yang kerja di negeri lain, pulang ke kampung halaman, undi untuk belah sana. Tidak cukup itu, dia minta ibu ayah sokong belah sana juga sebab mereka sudah janjikan bulan dan bintang.
“Sampai ada yang termakan, ibu ayah ada yang terikut. Jadi, tolong pastikan bahawa pengundi muda di kawasan masing-masing, kita santuni mereka.
“Semua jentera, anda ada tanggungjawab yang berat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
