MAHA Trade Days 2026 catat MoU RM1.49 bilion

SERDANG – Sebanyak 14 pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bernilai keseluruhan RM1.49 bilion menjadi antara pencapaian utama pada pembukaan MAHA Trade Days 2026 pada Selasa, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur dan rakan strategik terhadap potensi serta prospek sektor agromakanan Malaysia di peringkat global.Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu berkata, MAHA Trade Days 2026 merupakan platform penting untuk menghubungkan industri agromakanan Malaysia dengan pasaran, pelabur dan rakan perniagaan dari seluruh dunia.Menurutnya, MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September merupakan platform untuk mempamerkan keupayaan pertanian Malaysia, mempromosikan produk agromakanan, menggalakkan pelaburan serta mewujudkan peluang perniagaan kepada petani, nelayan, pengeluar ternakan dan perniagaan tempatan.”MAHA Trade Days 2026 merupakan platform penting yang direka untuk menghubungkan industri agromakanan Malaysia dengan pasaran, pelabur dan rakan perniagaan dari seluruh dunia,” katanya.MAHA Trade Days 2026 berlangsung dari 1 hingga 3 September 2026 di Dewan A dan B, MAEPS, Serdang dengan menghimpunkan hampir 2,000 pempamer yang mempunyai produk sedia eksport serta 40 pembeli antarabangsa terdiri daripada pemborong, pengedar dan peruncit dari pelbagai pasaran antarabangsa.Platform itu membuka peluang kepada pemain industri tempatan untuk meneroka pasaran baharu, memperluaskan pasaran sedia ada serta membina jaringan perniagaan dengan rakan strategik antarabangsa.Mohamad berkata, menerusi program MAHA Go Global, tumpuan bukan sahaja diberikan untuk mempamerkan keupayaan Malaysia, malah mewujudkan peluang kepada produk dan perniagaan tempatan untuk memasuki pasaran baharu serta bersaing di peringkat global.Program berkenaan merangkumi beberapa platform penting termasuk International Country Pavilion, Go Global Grow Local dan Business Matching yang direka untuk menggalakkan hubungan antara perniagaan Malaysia dengan rakan antarabangsa.”Paling penting, kita mempunyai Hosted Buyer Programme yang melibatkan 40 pembeli jemputan antarabangsa dan 25 pembeli jemputan domestik bersama perniagaan Malaysia yang menyertai program Go Global Grow Local.”Ini mewujudkan persekitaran khusus untuk padanan perniagaan, jaringan perniagaan dan potensi kerjasama komersial,” katanya.Daripada keseluruhan 14 pertukaran MoU itu, nilai komitmen pelaburan dan perdagangan yang direkodkan adalah sebanyak RM1.49 bilion.Kerjasama yang dimeterai meliputi pelbagai subsektor strategik agromakanan termasuk input pertanian, pengeluaran dan pemprosesan hasil pertanian, industri ternakan, produk makanan halal, nanas, pembangunan produk pertanian serta teknologi dan pembangunan kapasiti.Antara kerjasama bernilai tinggi yang direkodkan ialah pembangunan loji pemprosesan nanas di Tukau, Miri, Sarawak bernilai RM1.031 bilion, selain kerjasama strategik dalam pengeluaran dan pengedaran produk pertanian, pengembangan kapasiti ladang ayam pedaging berteknologi tinggi serta pembangunan baja khusus bagi tanaman nanas.Mohamad berkata, Malaysia mempunyai keupayaan kukuh dalam sektor tanaman, perikanan, ternakan, hortikultur dan industri berasaskan makanan.”Objektif kita adalah untuk bergerak melangkaui eksport komoditi dan membangunkan produk agromakanan bernilai tinggi, inovatif, berkualiti dan mampan untuk pasaran antarabangsa.”Objektif ini selaras dengan strategi di bawah National Agrofood Policy 2.0 (NAP 2.0), kerangka strategik 10 tahun bagi sektor agromakanan sehingga 2030,” katanya.Rangkaian penting ekosistemBeliau berkata, program MAHA Go Global menjadi jambatan penting antara ekosistem pertanian domestik dengan pasaran antarabangsa dengan menghimpunkan perniagaan Malaysia, pembeli, pelabur, institusi dan agensi kerajaan bagi meneroka peluang perdagangan, pelaburan serta kerjasama.Ia turut merangkumi kerjasama dalam teknologi, penyelidikan dan inovasi, akses pasaran serta pembangunan rantaian bekalan.”Pertukaran MoU ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor agromakanan.”Lebih penting, ia mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan agromakanan Malaysia serta komitmen untuk membina kerjasama bermakna yang mampu memperluaskan peluang pasaran, memperkukuh rantaian nilai dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada petani, pengeluar serta pemain industri,” katanya.Menurut beliau, kerjasama berkenaan perlu diterjemahkan kepada hasil yang bermakna menerusi peluang perdagangan, pelaburan, pemindahan teknologi dan akses pasaran, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan serta daya saing sektor agromakanan Malaysia.Nilai RM1.49 bilion yang direkodkan pada hari pertama itu merupakan sebahagian daripada sasaran keseluruhan RM8 bilion bagi nilai pelaburan dan perdagangan MAHA 2026.Sasaran tersebut mencerminkan aspirasi kementerian untuk menjadikan MAHA bukan sekadar platform pameran, tetapi medan strategik bagi menjana peluang perdagangan, menarik pelaburan dan memperluaskan akses pasaran antarabangsa untuk industri agromakanan Malaysia.Mohamad turut menggalakkan semua perniagaan Malaysia memanfaatkan sepenuhnya platform berkenaan untuk bertemu pembeli berpotensi, meneroka pasaran baharu dan membina kerjasama jangka panjang.”Dengan produk berkualiti, pengetahuan yang tepat dan kesediaan memenuhi keperluan antarabangsa, marilah kita yakin untuk membawa produk agromakanan Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.MAHA Trade Days 2026 diharap dapat mencetuskan lebih banyak padanan perniagaan, peluang pelaburan, kerjasama teknologi dan akses pasaran baharu, sekali gus menyokong usaha memperkukuh daya saing industri agromakanan Malaysia serta meningkatkan kehadiran produk tempatan di pasaran global.

Scroll to Top