kartika@mediaprima.com.my
Serdang: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) melancarkan Garis Panduan Eksport Nanas Malaysia dan Garis Panduan Penjenamaan Nanas Malaysia sebagai langkah memperkukuh daya saing serta kedudukan industri nanas negara di pasaran antarabangsa.
Garis panduan berkenaan dibangunkan bagi menyediakan rujukan lebih tersusun, praktikal dan seragam kepada pemain industri, khususnya pengusaha, pemasar dan pengeksport nanas.
Garis Panduan Eksport Nanas Malaysia memberi penekanan terhadap persediaan dan keperluan yang perlu dipenuhi pemain industri sebelum melaksanakan aktiviti eksport.
Ia merangkumi aspek dokumentasi, pendaftaran, permit, pematuhan kualiti, pembungkusan, pelabelan, logistik serta keperluan yang ditetapkan negara pengimport.
Pada masa sama, Garis Panduan Penjenamaan Nanas Malaysia pula membantu pengusaha, pemasar, pengeksport dan usahawan produk berasaskan nanas membangunkan identiti produk yang lebih konsisten, profesional dan mudah dikenali.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, kedua-dua garis panduan itu saling melengkapi dalam usaha membawa industri nanas tempatan ke tahap lebih tinggi.
Katanya, panduan eksport membuka laluan kepada pemain industri untuk menembusi pasaran baharu, manakala panduan penjenamaan membantu memperkukuh identiti serta imej nanas Malaysia dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
“Industri nanas negara perlu beralih daripada pendekatan menghasilkan dan menjual komoditi kepada usaha mencipta nilai, membina jenama serta menguasai pasaran.
“Kita bukan sekadar mahu menjual nanas Malaysia ke luar negara, tetapi kita mahu dunia mengenali dan mengingati nanas Malaysia,” katanya di majlis pelancaran Garis Panduan Eksport Nanas Malaysia dan Garis Panduan Penjenamaan Nanas Malaysia, di sini, Ahad lalu.
Pelancaran kedua-dua dokumen strategik itu juga sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS.
Chan berkata, nilai eksport nanas Malaysia pada 2025 mencapai kira-kira RM1.02 bilion dan kerajaan menyasarkan peningkatan kepada RM2 bilion menjelang 2027.
Katanya, penjenamaan perlu dilihat sebagai strategi jangka panjang bagi memastikan produk nanas Malaysia tidak hanya bersaing berdasarkan harga, sebaliknya berasaskan kualiti, identiti, inovasi, nilai tambah dan kepercayaan pengguna.
LPNM turut digesa memastikan kedua-dua garis panduan itu tidak hanya menjadi dokumen rujukan, sebaliknya diterjemahkan menerusi pelaksanaan taklimat, kursus, bimbingan, khidmat nasihat, promosi dan program pengembangan pemain industri.
Usaha itu penting terutama kepada usahawan kecil dan sederhana yang mahu meneroka peluang eksport serta mengembangkan produk hiliran berasaskan nanas ke pasaran antarabangsa.
Pelancaran kedua-dua garis panduan itu juga dilihat sebagai evolusi pendekatan pembangunan industri nanas negara daripada aspek kawal selia dan pematuhan kepada pendekatan yang lebih berorientasikan pasaran, daya saing, nilai tambah serta pembinaan jenama.
Dalam jangka panjang, penggunaan garis panduan itu diharapkan dapat meningkatkan kesiapsiagaan pemain industri meneroka pasaran baharu serta memperkukuh imej, identiti dan nilai komersial nanas Malaysia di peringkat global.
Daripada sekadar mengeksport nanas, industri kini disasarkan untuk membawa bersama identiti dan jenama Malaysia ke seluruh dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd

