City sambar Fernandez dengan harga RM683 juta

London: Manchester City mendapatkan pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez dari Chelsea, semalam menerusi perpindahan bernilai dilaporkan £125 juta (RM684 juta), sekali gus menyamai rekod perpindahan Britain.

Nilai itu menyamai jumlah yang dibayar Liverpool kepada Newcastle United untuk mendapatkan penyerang Sweden, Alexander Isak, tahun lalu.

Pengendali City, Enzo Maresca pernah bekerjasama dengan Fernandez ketika di Chelsea sebelum mengambil tugas besar menggantikan Pep Guardiola di Etihad.

Maresca menjadi antara individu penting dalam usaha mendapatkan Fernandez selepas penjualan pemain tengah berpengaruh dan juara Piala Dunia, Rodri kepada Barcelona, selain pemergian pemain tengah lain seperti Bernardo Silva, Nico Gonzalez dan Tijjani Reijnders.

Pemain berusia 25 tahun itu akan bergandingan dengan pemain antarabangsa England, Elliot Anderson dan pemain Maghribi, Ayyoub Bouaddi dalam barisan tengah baharu City yang menelan belanja lebih £300 juta (RM1.64 bilion).

“Setiap pemain mahu menjadi sebahagian daripada kelab seperti ini kerana semua orang tahu betapa baiknya City diuruskan.

“Kelab ini dibina untuk mencapai kejayaan. Jika anda melihat keseluruhan skuad, City mempunyai kualiti di setiap bahagian. Saya mahu belajar daripada rakan sepasukan baharu dan menjadi pemain yang lebih baik,” kata Fernandez.

Fernandez memenangi Liga Konferens Eropah dan Piala Dunia Kelab ketika bersama Chelsea, namun hubungannya dengan penyokong kelab itu terjejas susulan tanggapan mereka bahawa pemain berkenaan mahu meninggalkan Stamford Bridge.

Pengendali Chelsea, Xabi Alonso tidak menyenaraikan Fernandez dalam skuad bagi dua perlawanan terakhir ketika spekulasi mengenai perpindahannya ke City semakin hangat.

“Saya mahu anda tahu bahawa beberapa hari ini bukan mudah untuk saya. Menulis perkara ini juga bukan sesuatu yang mudah. Hakikatnya, saya tidak berada dalam keadaan yang baik.

“Hidup adalah mengenai membuat keputusan dan ketika ini saya mendapati diri saya perlu membuat salah satu keputusan sukar itu,” kata Fernandez menerusi hantaran perpisahan panjang kepada Chelsea di Instagram.

Fernandez menyertai Chelsea dari Benfica dengan nilai £106 juta (RM580 juta) pada tahun 2023.

Dia menimbulkan kemarahan penyokong The Blues musim lalu selepas menyatakan minat untuk menyertai Real Madrid dan digugurkan daripada skuad bagi dua perlawanan susulan perkara itu.

Dia menjaringkan dua gol ketika Argentina mara ke final Piala Dunia, termasuk jaringan menakjubkan ketika menentang England pada separuh akhir.

Bagaimanapun, kejohanan Fernandez berakhir dengan kad merah pada final apabila Argentina tewas 1-0, sekali gus gagal mempertahankan status sebagai juara dunia.

“Dia pemain tengah lengkap – memiliki keupayaan teknikal, rajin, kental dan mampu menjaringkan gol.

“Beraksi dalam dua final Piala Dunia dan memenangi trofi utama di beberapa negara ketika baru berusia 25 tahun sudah cukup untuk menggambarkan mentaliti, profesionalisme dan kualiti teknikalnya.

“Kami gembira membawanya ke sini dan sangat yakin dia akan membantu meningkatkan kekuatan pasukan,” kata pengarah bola sepak City, Hugo Viana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top