
FRANKFURT, Jerman: Kumpulan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa berkata pada Rabu, ia akan melanjutkan penggantungan penerbangan ke Beirut sehingga akhir Februari 2025, di tengah-tengah pertempuran yang semakin sengit antara Israel dan Hizbullah di Lubnan.
Penerbangan Lufthansa ke Beirut sebelum ini telah pun digantung sehingga 30 November 2024.
Ia juga berkata pada Rabu, akan melanjutkan penggantungan perkhidmatan ke ibu negara Iran, Tehran hingga akhir Januari 2025, yang mana sebelum ini operasinya diumumkan telah dihentikan sehingga 31 Oktober 2024.
Kumpulan Lufthansa, yang antaranya menaungi Swiss International Air Lines, Austrian Airlines dan Brussels Airlines telah berulang kali mengubah suai jadualnya dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah, seperti syarikat penerbangan lain.
Ia mengumumkan awal minggu ini bahawa ia melanjutkan penggantungan penerbangan ke Tel Aviv di Israel sehingga 10 November.
Kumpulan itu berkata ia mengelak ruang udara Israel sehingga akhir Oktober 2024 dan tidak akan menggunakan ruang udara Iran dan Iraq ‘sehingga diberitahu kelak’ kecuali koridor di ruang udara Iraq untuk berlepas dan ketibaan ke Irbil. -Agensi/– HARAKAHDAILY 23/10/2024








