PPM KK rampas mercun, bunga api lebih RM1 juta

PPM KK rampas mercun, bunga api lebih RM1 juta

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sepanggar, di sini, Rabu lalu.

Serbuan kira-kira jam 3 petang menerusi Op Taring oleh PPM Kota Kinabalu itu.

Ia hasil risikan di kawasan berkenaan kerana disyaki menjalankan aktiviti mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslee Abd Rahman berkata, ketika serbuan, anggota membuat pemeriksaan ke atas rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan longgokan kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah RM1,038,945.60,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi.

“Semua mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai ‘lari’ daripada cukai kastam.

“Barang rampasan disiasat mengikut akta Kastam kerana kesalahan menjual atau menyimpan barang-barang tanpa lesen dan permit mengimport mercun atau bunga api,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top