mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Punca kematian abang semalam disebabkan sakit jantung. Dia bangun dari tidur jam 5 pagi. Kemudian dia berdiri dan selepas itu terus rebah tak sedarkan diri.
“Saya kemudiannya menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan. Sebelum pasukan perubatan mengesahkan kematian dia,”.
Demikian kata AD, adik kepada Allahyarham AG, penyanyi kumpulan nu metal, Black Maria yang popular menerusi lagu Veto pada tahun 2000.
AG atau nama sebenarnya, Abdul Aziz Bahari meninggal dunia pada usia 48 tahun di dalam bilik rumah yang disewa mereka di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, Selangor semalam..
Menurut AD, abangnya tahu mengenai penyakitnya, tetapi enggan mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
“AG tidak pernah menunjukkan reaksi seperti sedang sakit dan wajahnya sentiasa ceria. Tapi dalam masa seminggu sebelum kejadian ini, dia memang demam.
“Namun dia tak nak pergi hospital. Puas saya paksa dia tetap enggan, kecuali dia sakit gigi baru dia nak ke hospital,” katanya.
Menurutnya lagi, selepas tidak lagi bersama Black Maria, abangnya melakukan kerja-kerja sambilan membantunya.
“Dia ikut saya buat kerja pendawaian dan pelbagai lagi. Itu saja yang dilakukan. Apapun saya bersyukur jenazahnya selamat dikebumikan di Rembau, Negeri Sembilan selepas Asar semalam.
“Cuma saya tak dapat nak pergi iringi jenazahnya sebab saya terlalu sedih dan tak boleh nak tengok dia,” katanya.
Black Maria muncul sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-8 pada 2001. Album Veto juga tercalon dalam kategori Album Rock Terbaik menerusi anugerah sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd
