khairil.ashraf@hmetro.com.my
Putrajaya: DAP memutuskan untuk terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat tempoh penggal Parlimen.
Keputusan dibuat selepas 1,857 perwakilan DAP mengundi untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan dalam Persidangan DAP 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Seramai 242 perwakilan mengundi untuk keluar. Pengumuman keputusan itu dibuat Speaker Persidangan DAP, Cha Kee Chin.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam ucapan penggulungannya mengusulkan agar perwakilan parti itu membuat keputusan sama ada mahu parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh penggal Parlimen atau tidak.
Katanya, keputusan perwakilan yang mahu DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan bukannya satu cek kosong kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Kebangsaan (CEC) atau Perdana Menteri.
Sebaliknya, beliau berkata, pimpinan parti akan menggunakan segala kemampuan dan masa yang ada dalam Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan segala janji serta pembaharuan yang diutarakan sebelum ini.
Menurutnya, janji yang dibuat itu bukanlah baharu, sebaliknya perkara yang telah dinyatakan secara terbuka.
“Itulah perkara yang sepatutnya kita laksanakan dan sudah tentu, kita akan terus memastikan bahawa kerajaan khususnya Perdana Menteri dapat menunaikan semua janji tersebut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
