am@hmetro.com.my
Kuantan: Anggota Unit Peronda bagi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) direman lima hari mulai hari ini bagi siasatan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM14,000.
Anggota terbabit ditahan susulan penahanan seorang pegawai polis yang bertugas di lebuh raya sama pada 11 Ogos lalu kerana disyaki menerima suapan sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pengguna lebuh raya yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Perintah reman terbabit sehingga 20 Ogos itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini.
Menurut sumber, anggota polis berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang kira-kira 5.30 petang semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu bersama seorang pegawai polis antara Januari dan Julai lalu.
“Mereka dipercayai menerima rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan suspek,” katanya.
Sementara itu, perintah reman terhadap pegawai polis itu yang ditahan sejak 11 Ogos lalu disambung empat hari lagi hingga 19 Ogos.
Lanjutan reman dikeluarkan majistret dalam prosiding pagi tadi selepas tempoh reman pertama berakhir hari ini.
Dalam pada itu Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.
Menurutnya, mereka disiasat di mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd
