am@hmetro.com.my
Klang: Polis akan menyerahkan kertas siasatan membabitkan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diculik dan dicabul kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan membabitkan enam suspek yang ditahan.
Menurutnya, kes yang bermula 8 Oktober lalu itu membabitkan siasatan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan IPD Shah Alam.
“Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik orang daripada penjagaan sah selain Seksyen 375 B dan Seksyen 377 C akta sama.
“Reman bagi keenam-enam sehingga 30 Oktober depan dan kertas siasatan sudah selesai, dilengkapkan dan kita akan rujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya, kemungkinan besar awal minggu depan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selangor di Balai Polis Pandamaran, di sini, hari ini.
Katanya, keenam-enam suspek akan diserahkan kepada Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi siasatan mengikut Seksyen 377 C berkaitan kes yang dilaporkan di Jinjang, Kepong.
“Jadi (apabila ini) selesai, kita akan mendakwa keenam-enam mereka di mahkamah berhubung kes yang berlaku di Selangor,” katanya.
Sehingga kini, polis masih mencari dua lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam sindiket pelacuran berkenaan.
Polis sudah merakam keterangan 25 saksi iaitu 15 saksi kes Klang Selatan dan 10 saksi kes Shah Alam bagi membantu siasatan kes terbabit, katanya.
Kanak-kanak perempuan, 12 yang dilaporkan hilang dari flat dekat Bandar Bukit Tinggi 1, Klang pada 8 Oktober lalu dipercayai dicabul dan hampir dijual kepada sindiket pelacuran di Chow Kit sebelum ditemukan selamat, 12 Oktober lalu.
Mangsa culik dicabul, hampir dijual kepada sindiket pelacuran
© New Straits Times Press (M) Bhd




