Istiqamah bela perjuangan rakyat Palestin

Istiqamah bela perjuangan rakyat Palestin

Konflik yang berpanjangan di antara Palestin dan negara haram Israel adalah berpunca daripada kezaliman dan kekejaman rejim zionis Israel yang tidak pernah berhenti bertindak merampas hak dan kedaulatan rakyat dan negara Palestin. Israel bertambah angkuh apabila mereka disokong oleh kuasa besar dunia dalam melangsungkan kezaliman dan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh mereka saban hari dan waktu. 

Sehubungan dengan itu, atas asas persaudaraan, umat Islam wajib beristiqamah menolong, membantu serta membela saudara seakidah yang dijajah, diperangi dan dizalimi serta dinafikan hak mereka oleh regim zionis Israel. Firman Allah dalam surat al-Taubah ayat 71 bermaksud: “Dan  orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah daripada yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran menyatakan bahawa ayat al-Quran ini memberikan panduan kepada umat Islam bahawa hati mereka adalah satu dari sudut berkasih sayang dalam kalangan orang yang beriman. Mereka sanggup berkorban dan memberikan pertolongan dalam apa jua situasi dan keadaan sama ada ketika susah mahupun senang. 

Dalam ayat yang lain, Allah SWT menggambarkan   memberikan pertolongan kepada sesama Muslim adalah petunjuk kepada benarnya iman seseorang kepada Allah dan mempunyai tanda kesempurnaan sebagai seorang Muslim. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 72 bermaksud: “Sesungguhnya  orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang  yang memberikan tempat kediaman dan pertoIongan (kepada  orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi. Dan (terhadap)  orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajiban sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Apabila disoroti lipatan sejarah, didapati selama ini Palestin yang berada di bawah pemerintahan Islam, rakyatnya hidup dalam suasana aman damai. Namun, keadaan aman damai bertukar menjadi pergolakan yang berpanjangan dan tiada berkesudahan apabila Yahudi mulai menapak dan merampas tanah di Palestin. Mereka bukan sahaja merampas hak rakyat Palestin dengan merompak tanah, rumah, kebun dan sebagainya, bahkan mereka tanpa segan dan silu telah   mengisytiharkan kependudukan haram mereka sebagai sesuatu yang sahih dan dengan angkuhnya menubuhkan negara bagi Israel pada 15 Mei 1948.

Sejak sekian lama Palestin menjadi sebahagian daripada dunia Islam. Ia berikutan Pembukaan Baitul Maqdis yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar al-Khattab RA pada tahun ke-16 hijrah bersamaan tahun 637 Masihi daripada penguasaan empayar Rom. Orang Islam sejak menerima kunci pembukaan al-Quds semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab lagi, telah menunaikan amanah penjagaannya dengan begitu baik sekali. Orang Islam ketika berkuasa terhadap al-Quds telah memberikan kebebasan kepada penganut agama lain untuk melaksanakan upacara ibadat mereka tanpa sebarang halangan. Keadilan Islam itu dapat dilihat dengan jelas apabila   gereja yang dibina oleh orang Kristian tidak terusik.

Namun keadaan sekarang ini amat berbeza, apabila Yahudi dengan sikap kejamnya bukan sekadar membunuh ribuan jiwa tidak berdosa yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua, bahkan mereka juga sengaja menghancurkan masjid, gereja, hospital, sekolah, universiti, rumah dan sebagainya. 

Ramai daripada para sahabat dan tabiin tinggal di Palestin dan mereka menjadikan Palestin sebagai pusat perkembangan tamadun Islam. Justeru, Palestin berkembang pesat dengan pembinaan sekolah, masjid, hospital, pasar dan sebagainya. Palestin telah menjadi tumpuan para ulama dari segenap ceruk rantau sehinggalah al-Quds menjadi terkenal sebagai pusat ilmu dan ulama.

Bumi Baitul Maqdis ini terus dipelihara oleh pemerintah Islam manakala ulama pula mengambil inisiatif untuk terus mengekalkan peradaban Islamnya. Mereka sangat mengambil berat dengan bumi suci ini lebih daripada penjagaan terhadap diri mereka sendiri. Sultan Abdul Hamid telah membuat kenyataan dengan katanya:  “Sesungguhnya setiap inci bumi Palestin telah diperoleh dengan pengorbanan darah datuk nenek kita, oleh itu kita tidak boleh mempersia- siakan walau seinci dari bumi ini…” dan katanya lagi: “Kita tidak sekali-kali akan membenarkan Palestin yang telah dibuka dengan darah datuk nenek kita menjadi Negara Yahudi…”

Justeru, Sultan Abdul Hamid telah berusaha dengan sedaya upaya menjaga dan memelihara Baitul Maqdis daripada ketamakan Yahudi. Sultan Abdul Hamid bertindak dengan mengeluarkan arahan supaya melarang golongan Yahudi membina penempatan mereka di Palestin. Dalam usaha memelihara Palestin daripada diceroboh, baginda memisahkan Baitul Maqdis daripada pentadbiran Syria dengan memindahkannya kepada pentadbiran Khilafah Islamiah dengan secara langsung.

Dari detik itu, bermulalah usaha menjatuhkan Khilafah Uthmaniah. Musuh-musuh Islam berusaha menempatkan Yahudi di Palestin agar Khilafah Uthmaniah dapat ditewaskan dengan mudah. Manakala orang Inggeris yang diketuai oleh Lawrence pula berusaha sedaya upaya meniupkan semangat perkauman kepada orang-orang Arab demi menjatuhkan Khilafah Uthmaniah di Turki.

Lawrence berkata: “Matlamat kita yang utama ialah menghancurkan kesatuan Islam lantas memusnahkan empayar Islam Uthmaniah.” Katanya lagi: “Sekiranya kita mampu mempengaruhi orang Arab untuk berusaha mengembalikan hak-hak mereka daripada orang Turki, maka sudah pasti kita akan dapat menewaskan Islam untuk selama-lamanya, bahkan kita berupaya memastikan agar orang Islam bercakaran sesama sendiri hingga gugurlah daripada mereka kuasa khilafah bagi orang Islam di Turki. Sekiranya perkara ini terjadi, kita tidak akan takut dan terancam dengan Islam buat selama-lamanya.”

Apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada 1914, Inggeris dan Yahudi telah bersekongkol menentang Khilafah Uthmaniah. Kesan daripada peperangan ini ialah tewasnya Daulah Uthmaniah. Dengan kekalahan itu, Palestin menjadi milik Britain, lalu Britain menyerahkan Palestin kepada Yahudi pada November 1917. Dengan ini bermulalah penempatan dan penguasaan Yahudi terhadap negara Palestin dan bilangan orang Yahudi yang mendiami Palestin telah bertambah dari semasa ke semasa. Lalu, Yahudi telah mengisytiharkan dengan rasminya kependudukan mereka di Palestin sebagai sebuah negara pada 1948.

Pada 1967, Yahudi bertindak menguasai kawasan Palestin yang belum dikuasai oleh mereka. Dalam usaha ini, Yahudi menggunakan kekuatan tenteranya.  Walaupun perjanjian persempadanan telah dimeterai selepas perang Arab-Israel pada 1967, namun perjanjian tersebut tidak dipatuhi oleh Israel. Mereka terus menjajah dan merampas tanah, rumah dan harta benda yang telah dimiliki oleh penduduk Palestin sejak ratusan tahun lalu. Rampasan tanah milik rakyat Palestin terus dilakukan secara rakus dan zalim oleh zionis Israel bagi membina penempatan haram Yahudi.  Hakikatnya, Tindakan zalim rejim zionis itu adalah sebahagian daripada agenda mereka untuk melenyapkan negara Palestin dari peta dunia.

Maka dari sinilah, datangnya fatwa dari ulama Islam yang menghalang pengunduran umat Islam dari mana-mana bahagian dari bumi Palestin. Ini kerana tanah Palestin melibatkan akidah dan agama umat Islam yang tidak seharusnya sesiapapun mengabaikan bumi suci yang dipelihara sejak sekian lama.

Justeru, menjadi kewajipan umat Islam untuk beristiqamah mempertahankan dan membela rakyat Palestin dan negara Palestin daripada cengkaman dan kezaliman zionis Israel.

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top