Teknologi bentuk masa depan pendidikan

suliati@hmetro.com.my

OPEN University Malaysia (OUM) melancarkan logo korporat baharu sebagai simbol transformasi dalam mendepani perubahan landskap pendidikan tinggi, khususnya menerusi pembelajaran fleksibel, digital dan sepanjang hayat.

Perubahan identiti visual itu dilihat selari dengan perkembangan OUM yang bermula sebagai institusi untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi sebelum berkembang sebagai antara penyedia pendidikan terbuka, jarak jauh dan digital terkemuka di Malaysia.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, logo baharu itu bukan sekadar perubahan reka bentuk, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui usaha berterusan universiti dalam memastikan pendidikan kekal berkualiti, relevan dan responsif terhadap keperluan penuntut serta masyarakat.

“Identiti sesebuah universiti tidak hanya ditentukan melalui logo, sebaliknya dibina menerusi kepercayaan pelajar, kualiti program akademik dan sumbangan yang diberikan kepada masyarakat.

“Oleh itu, logo baharu ini diharap melambangkan satu langkah baharu untuk OUM bergerak lebih pantas dan progresif serta membawa universiti ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya ketika berucap pada Siri Syarahan Awam Tahunan Ke-2 dan pelancaran logo baharu OUM, baru-baru ini.

Menurutnya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah landskap pendidikan tinggi, sekali gus menuntut universiti menilai semula kaedah pengajaran dan pembelajaran supaya lebih fleksibel, diperibadikan serta memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.

“Perkara itu turut menjadi antara fokus dalam Pelan Pendidikan Tinggi Negara 2026-2035 yang dilancarkan KPT pada 20 Januari lalu.

“Ia termasuk pembangunan bakat dan pendidikan fleksibel menerusi pendekatan seperti pembelajaran sepanjang hayat, mikrokredensial dan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL),” katanya.

Sementara itu, Presiden yang juga Naib Canselor OUM Prof Datuk Dr Ahmad Izanee Awang berkata, pelancaran logo baharu itu mencerminkan evolusi universiti dan komitmennya untuk terus berada di barisan hadapan dalam pembelajaran digital tanpa mengetepikan matlamat asal untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti.

Katanya, perubahan teknologi bukan sekadar mengenai penggunaan alat baharu, sebaliknya bagaimana teknologi itu dimanfaatkan bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran lebih bermakna dan sokongan lebih kukuh kepada setiap penuntut, tanpa mengira lokasi mereka.

“Logo baharu kami bukan sekadar reka bentuk baharu, sebaliknya mencerminkan keyakinan terhadap masa depan pendidikan dan komitmen untuk terus berada di barisan hadapan dalam pembelajaran digital.

“Masa depan pendidikan tidak seharusnya hanya bergantung kepada teknologi, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada nilai kemanusiaan, tanggungjawab dan keperluan setiap pelajar bagi memastikan pendidikan terus menjadi pemangkin kepada peluang yang mampu mengubah kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, Siri Syarahan Awam Tahunan Ke-2 OUM yang dianjurkan oleh Pusat Masa Depan Pendidikan Digital itu menampilkan lima sarjana yang baru dilantik sebagai OUM Global Fellows bagi sesi 2026-2027 dari institusi terkemuka di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Hong Kong dan Jepun.

Mereka ialah Prof Emeritus Shinobu Yume Yamaguchi dari Jepun, Prof Lim Cher Ping dari Hong Kong, Prof Bart Rienties dari United Kingdom, Prof George Veletsianos dari Amerika Syarikat dan Prof Felicitas Macgilchrist dari Jerman.

Siri syarahan itu memberi ruang kepada ahli akademik, pensyarah, penuntut serta penyelidik berkongsi pelbagai perspektif mengenai masa depan pendidikan digital, selain menonjolkan persediaan OUM dalam mendepani perubahan landskap pendidikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top