Hias rumah ikut selera

Hias rumah ikut selera

asmaini@mediaprima.com.my

Jika kena dengan gaya dekorasi, tidak kira apa jenis kediaman sekalipun, ia akan nampak cantik dan selesa.

Rumah bersaiz kecil seperti pangsapuri atau kondominium misalnya, ada banyak tip dekorasi yang boleh dijadikan panduan.

Begitu juga dengan kediaman jenis teres mahupun yang dibina sendiri, ada panduan untuk diikuti dalam menggayakan sesuatu gaya dekorasi.

Namun, tidak salah untuk mencuba apa juga tema dekorasi asalkan ia tidak memberi keburukan sama ada dari segi keselesaan mahupun kewangan anda.

Berikut antara beberapa panduan sebelum anda melakukan dekorasi atau pengubahsuaian kediaman:

1. Bajet

Apa juga gaya dekorasi atau pengubahsuaian yang ingin dilakukan dan semuanya bergantung kepada peruntukkan yang ada.

Jangan habiskan semua simpanan semata-mata untuk mencantikkan rumah dengan barangan mahal kerana terdapat banyak kedai yang menawarkan barangan hampir sama dengan harga jauh lebih murah.

Ingat! Deko yang cantik bukan memerlukan barangan yang mahal, sebaliknya kreativiti pemiliknya sendiri.

Jadi, pastikan anda berbelanja mengikut bajet yang sudah ditetapkan supaya tidak timbul masalah kewangan di kemudian hari.

2. Konsep atau tema.

Aspek kedua penting selain bajet kerana ia akan menentukan hasil dekorasi kelak.

Justeru, pastikan anda memilih tema dekorasi yang sesuai dengan personaliti atau keperibadian diri sendiri.

Jika anda sukakan ketenangan dan menggemari bunga-bungaan contohnya, disarankan untuk memilih konsep dekorasi gaya Inggeris.

3. Pemilihan warna

Warna dinding juga memainkan peranan penting dalam sesuatu gaya dekorasi kediaman.

Jadi, pastikan anda memilih warna yang sesuai mengikut tema yang dipilih. Contohnya tema Scandinavia adalah gabungan antara kayu dan barangan pastel.

Anda mungkin boleh menggabungkan antara warna-warna semula jadi untuk mengekalkan gaya minimalis dan teratur.

Warna gelap boleh menjadikan ruang nampak lebih bergaya dan elegan namun pada masa sama, ia kelihatan lebih sempit berbanding rona cerah.

4. Pemilihan perabot

Jika saiz dan ruang kediaman agak terhad, pilihlah perabot pelbagai fungsi.

Selain menambah seri pada ruang kediaman, perabot jenis ini juga dapat menyimpan pelbagai jenis barangan lain.

Contohnya bangku di depan pintu utama yang boleh berfungsi sebagai tempat simpanan kasut atau meja kopi dengan fungsi ruang penyimpanan barang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top