IPOH: DAP Perak yakin terhadap kekuatan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini dan tidak akan mengalami nasib seperti di Johor serta Negeri Sembilan yang baru selesai melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusinya, Nga Kor Ming menganggap negeri Perak mempunyai ‘tsunami gelombang merah’ yang akan mempertahankan gabungan tersebut.
“Ini adalah satu titik permulaan kepada tsunami gelombang merah rakyat, yang saya yakin akan bangkit di bumi bertuah Perak Darul Ridzuan.
“Kita percaya, Perak bukan Johor, Perak bukan Negeri Sembilan. Di Perak kita raikan kepelbagaian dan perpaduan bersama PH,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 DAP di sini malam tadi.
PH mencatatkan keputusan buruk dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan termasuk DAP yang tewas di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum itu ketika menghadiri Konvensyen Pas Perak di Taiping menilai persefahaman antara PN dan Barisan Nasional (BN) mampu mencatat kemenangan sekitar 75 peratus sekali gus membentuk kerajaan di Perak.
Kor Ming menekankan pelbagai usaha serta perubahan telah dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun kerajaan Perpaduan baru mencapai usia tiga tahun setengah.
“Kerajaan yang ada hari ini baru berusia tiga tahun setengah. Bandingkan dengan dahulu apa yang telah berlaku. Semalam sakau, hari ini sakau, esok pun sakau,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahu pentadbiran kerajaan di bawah PH terus mengekalkan prestasi perkhidmatan dan tidak kecundang akibat persepsi tertentu.
Majlis makan malam yang mengumpulkan lebih 1,000 orang itu juga dihadiri oleh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.
Ahli politik berusia 85 tahun itu turut berucap dengan mengharapkan perpaduan pelbagai kaum dapat dikekalkan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada bulan ini. – UTUSAN
