Strategi terbaik iktiraf wanita

Strategi terbaik iktiraf wanita

asmaini@mediaprima.com.my

PERANAN wanita dalam agenda pembangunan ekonomi negara sememangnya tidak dapat disangkal lagi.

Sumbangan besar golongan itu dalam sektor ekonomi misalnya dikatakan mampu menambah sehingga RM6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.

Justeru, dalam usaha memperkasakan wanita, kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif menarik yang dizahirkan menerusi pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.

Antaranya, Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) akan diperhebat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita.

Menurut Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rojanah Kahar, program PERANTIS antara strategi terbaik kementerian berkenaan dalam usaha untuk memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh wanita hebat di negara ini.

Kata beliau, program latihan kepimpinan itu menawarkan modul latihan yang dirancang khusus untuk membangunkan kemahiran wanita dari segi kepimpinan, strategi pengurusan dan membuat keputusan.

Semua itu dapat membantu peserta mengasah kemahiran yang diperlukan untuk memimpin organisasi dengan lebih berkesan.

“Selain itu, mereka juga diberi peluang untuk berinteraksi dan mendapatkan bimbingan daripada tokoh korporat yang berpengalaman melalui pendekatan mentorship dan bimbingan.

“Jaringan ini penting untuk memberikan nasihat praktikal dan sokongan moral dalam perjalanan kerjaya mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Dr Rojanah berkata, program berkenaan juga berperanan dalam mengubah persepsi mengenai golongan wanita dalam kepimpinan.

Ia secara tidak langsung mendorong lebih banyak syarikat untuk mengambil wanita dalam posisi eksekutif mahupun pengurusan.

Kata beliau, keistimewaan PERANTIS juga dilihat pada mekanisme pemantauan untuk menilai kejayaan program termasuk perkembangan kerjaya peserta selepas mengikuti program dan impak terhadap organisasi mereka.

Ia berpotensi untuk meningkatkan jumlah wanita dalam posisi kepimpinan korporat, sekali gus menyumbang kepada pengimbangan gender dalam sektor korporat dan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Kerajaan dengan jelas menzahirkan komitmen padu terhadap keseimbangan gender dan pembangunan ekonomi yang inklusif.

“Bagaimanapun, perlu ada sistem pemantauan yang efektif dan komprehensif untuk menilai keberkesanan program yang baru di peringkat awal pelaksanaan,” katanya.

Dalam pada itu, Program Returnship juga akan diperintiskan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan.

Dana pembiayaan berjumlah RM470 juta turut disediakan SME Bank, BSN, Bank Rakyat dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam usaha menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita.

Ia untuk membantu usahawan wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset dan seterusnya meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Kerajaan juga menggalakkan wanita kembali bekerja bukan sahaja untuk membantu ekonomi keluarga malah negara secara keseluruhan.

Untuk itu, kerajaan akan memberikan potongan cukai tambahan 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.

Potongan cukai tambahan 50 peratus juga akan diberi ke atas perbelanjaan kos pembangunan kapasiti dan perolehan perisian yang ditanggung majikan dalam melaksanakan pengaturan kerja fleksibel.

Manakala potongan cukai tambahan 50 peratus turut diberikan bagi kemudahan cuti penjagaan tambahan berbayar oleh majikan sehingga 12 bulan kepada pekerja yang menjaga anak atau ahli keluarga yang sakit atau kurang upaya.

Menurut Dr Rojanah lagi, dengan melaksanakan inisiatif berkenaan, kerajaan dilihat bertekad untuk mencipta persekitaran yang menyokong pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan.

Katanya, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada wanita itu sendiri, tetapi juga kepada ekonomi, masyarakat dan negara secara keseluruhan.

“Terdapat banyak kesan positif melalui pendekatan ini antaranya menjadikannya lebih menarik untuk wanita kembali memasuki alam pekerjaan.

“Selain itu, potongan cukai juga mampu menyokong aspek keusahawanan sekali gus boleh menggalakkan lebih ramai wanita untuk menjadi usahawan dan mencipta peluang pekerjaan kepada wanita lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top