Kim Swee puas hati gawang Sabah kebal

Kim Swee puas hati gawang Sabah kebal

sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee nyata gembira anak buahnya berjaya memastikan gawang pasukan tidak dibolosi sepanjang aksi bertemu Penang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Beliau berkata, empat gol masing-masing daripada Saddil Ramdani, Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Dominic Tan memperlihatkan komitmen tinggi pasukan demi memastikan Sang Badak sekali lagi membawa pulang tiga mata berharga di tempat lawan.

“Satu keputusan cukup baik, selepas menang di Manjung, Perak, perkara paling positif di sini bagi saya adalah kita tidak dibolosi. Ini merupakan satu perkara yang lama tidak berlaku dengan pasukan Sabah.

“Pemain walaupun mendahului dengan tiga jaringan pada masa pertama mengekalkan disiplin, terutamanya tidak membenarkan pasukan lawan mendapatkan sebarang gol,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Kejayaan itu menempatkan Sang Badak di tangga ketiga liga dengan kutipan 20 mata berada di belakang Selangor FC (26 mata) dan Johor Darul Ta’zim (31 mata).

Kim Swee berpandangan, Sabah mempunyai kelebihan menghasilkan gol jarak jauh berkualiti dengan kesemua jaringan malam tadi adalah hasil rembatan deras luar kotak penalti justeru anak buahnya harus mempunyai pelbagai cara mendapatkan gol.

Jurulatih berusia 53 tahun itu turut menegaskan, tiada istilah mengambil mudah ketika berdepan mana-mana pasukan dan kemungkinan berbeza boleh berlaku sekiranya anak buahnya mengambil sikap tidak serius terhadap lawan mereka.

Tambahnya, Sabah turut terpaksa melupakan khidmat penyerang kebangsaan, Darren Lok kerana kecederaan hamstring yang dialami beliau dijangka mengambil masa antara empat hingga enam minggu untuk pulih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top