Pertumbuhan gaji tidak setara produktiviti, sistem gaji perlu dirombak – Timbalan Gabenor BNM

Pertumbuhan gaji tidak setara produktiviti, sistem gaji perlu dirombak – Timbalan Gabenor BNM

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menganggap pertumbuhan gaji di negara ini masih ketinggalan dari segi produktiviti, sekali gus memaparkan keperluan bagi merombak sistem penetapan gaji berkenaan.

Timbalan Gabenor Datuk Marzunisham Omar berkata rombakan itu terutamanya membabitkan aspek bagaimana pelarasan gaji minimum itu dapat diterjemahkan atau memberi kesan kepada gaji di peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata ini memandangkan secara statistik, Malaysia masih belum mempunyai pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencukupi.

“Jika dilihat, kadar guna tenaga tidak penuh dalam kalangan pekerja berkemahiran tinggi masih ketara iaitu sekitar 35-36 peratus. Ini bermakna 35-36 peratus pekerja dalam pekerjaan yang memerlukan kelayakan lebih rendah berbanding tahap kelayakan yang mereka miliki sekarang,” katanya dalam sesi pleno bertajuk “The Future of Investment: Competing in A Fragmented World” sempena Simposium Sasana BNM 2026 (SS2026) selama dua hari di sini, hari ini.

Marzunisham juga berpendapat Malaysia perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi melalui pelaburan selain bertindak meningkatkan kualiti tenaga kerja menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta inisiatif peningkatan dan pemerkasaan kemahiran semula.

BNM juga berpendapat, inisiatif seperti gaji sara hidup, gaji progesif serta gaji yang dikaitkan dengan produktiviti adalah antara langkah yang sedang dilaksanakan bagi membantu menangani isu berkenaan.

“Apabila gaji minimum dilaksanakan, peningkatan itu (bagaimanapun) tidak mengalir kepada kumpulan yang berpendapatan lebih tinggi. Sebaliknya, kita melihat berlakunya mampatan gaji apabila gaji permulaan bagi golongan profesional yang berkelayakan kekal hampir dengan paras gaji minimum.

“Pada akhirnya, bagi saya, apa yang penting ialah rakyat dapat menikmati kualiti hidup yang baik, mempunyai pekerjaan berkualiti serta memperoleh pendapatan yang munasabah dan tinggi. Itulah matlamat yang sepatutnya menjadi tumpuan dasar,” katanya.

Melontarkan pandangan sama, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut mengakui Malaysia berdepan dengan isu berkaitan gaji dan kadar gaji sepatutnya meningkat seiring dengan pertumbuhan produktiviti serta peningkatan kemakmuran ekonomi negara.

Walaupun Malaysia menikmati kadar inflasi dan pengangguran yang rendah, ramai yang tidak berasakan nikmat pertumbuhan ekonomi, malah turut mempersoalkan mengapa gaji mereka tepu atau belum meningkat walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.8 peratus dalam suku kedua 2026.

Justeru, Tengku Zafrul memuji tindakan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan di atas inisiatif seperti gaji sara hidup – langkah yang sepatutnya dicontohi lebih banyak syarikat lain walaupun dalam persekitaran yang mencabar.

Beliau mengakui tindakan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 sebagai bukan mudah, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lebih bimbangkan aspek berkaitan produktiviti.

Atas alasan itu, beliau berkata peningkatan produktiviti kekal menjadi faktor utama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan atau memberi kesan kepada kenaikan gaji.

“Di sinilah kita perlu memberi tumpuan kepada asas-asas ekonomi supaya akhirnya pertumbuhan itu dapat diterjemahkan kepada peningkatan gaji,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata kira-kira 90 peratus pelaburan diluluskan bagi tempoh 2020 hingga suku pertama 2026 telah berjaya dilaksanakan yang mencerminkan keupayaan Malaysia yang kukuh bagi membolehkan kelulusan pelaburan kepada pelaksanaan projek.

Menurutnya, para pelabur juga secara amnya berpuas hati dengan penyelarasan kerajaan, termasuk melibatkan pihak berkuasa tempatan.

Namun, pada masa sama, beliau berkata Malaysia perlu terus meningkatkan daya saing ketika beberapa negara lain mencatat pergerakan lebih pantas dalam sektor tertentu.

Malaysia juga, katanya, tidak harus mengetepikan kelebihan hubungan global dimilikinya walaupun hanya mempunyai kira-kira 36 juta penduduk.

Bertemakan ‘Reforms for Resilience: Navigating Uncertainties’, SS2026 selama dua hari bermula hari ini mengetengahkan perbincangan mengenai isu ekonomi dan kewangan utama, termasuk daya tahan ekonomi, upah, cabaran kos sara hidup, pelaburan, keselamatan tenaga, kewangan Islam dan kos penjagaan kesihatan swasta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top