hafizithnin@mediaprima.com.my
Ternyata pemanduan penulis menggunakan Porsche Taycan 4S dari Kuala Lumpur menuju ke Gambang, Pahang sejauh kira-kira 233 kilometer (KM) memberi pengalaman yang cukup berbeza dalam sesi pandu uji kenderaan elektrik berkenaan.
Porsche Taycan 4S adalah varian kedua dikeluarkan untuk keluarga Taycon Sport Saloon terdiri daripada yang pertama Taycan; ketiga, Taycon Turbo; keempat, Taycon Turbo S dan kelima, Taycon Turbo GT.
Porsche Taycan 4S sebenarnya sudah berada di pasaran Malaysia sejak September 2020 dengan harga RM725,000 seunit tidak termasuk cukai jalan. Meskipun berada di dalam keluarga kenderaan mewah, ia mempunyai pengikut tersendiri di negara ini.
Berbalik kepada pengalaman pandu uji penulis, antara boleh dikongsikan adalah daripada segi trend kuasa yang berada pada paras 0-100kilometer sejam (km/j) boleh dicapai 3.7 saat sahaja memberikan output kuasa yang laju.
Ciri ini sudah pasti boleh mencabar kenderaan yang menggunakan pembakaran dalaman (ICE) atau menggunakan petrol meskipun kenderaan itu menggunakan kuasa bateri sepenuhnya.
Top speed kenderaan ini yang boleh mencapai 250km/j sudah semestinya membuktikan kuasa pemanduan cukup laju.
Ketika memandu model itu yang mempunyai kapasiti maksimum bateri 400 kilowat mampu memandu jarak perjalanan sejauh melebihi 400 kilometer. Ini sememangnya membuatkan penulis tidak perlu risau untuk perjalanan jarak jauh dari Kuala Lumpur ke Gambang.
Malah penulis juga sempat menggunakan kemudahan stesen pengecas kenderaan di sebuah stesen minyak di Termerloh bagi meninjau sendiri kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik yang ada dalam perjalanan berkenaan.
Ketika dalam perjalanan menuju ke Gambang penulis juga merasai pengalaman melalui kawasan banjir dan ciri suspensi boleh dilaraskan secara manual menerusi papan sesentuh memudahkan kenderaan melepasi paras air di jalan yang agak tinggi.
Situasi ini sebenarnya adalah perkara paling dikuatiri oleh pemilik kenderaan elektrik kerana bateri terletak di bawah kenderaan yang boleh meyebabkan masalah teknikal.
Tempat duduk pemandu dan penumpang juga agak selesa kerana menggunakan material kulit, boleh diselaraskan dengan butang elektrik dan berbentuk semi bucket yang menonjolkan sebuah kenderaan sport sebenar.
Papan skrin di dalam kenderaan itu mempunyai reka letak yang sebaris daripada pemandu sehingga penumpang hadapan. Panel meter digital di hadapan pemandu mempunyai ciri inklusif yang diperlukan oleh pemandu antaranya RPM, jarum meter, unit kawalan mod yang terbahagi kepada empat mod antaranya normal, sport, sport plus dan paling penting paparan kemampuan jarak perjalanan yang boleh diteruskan oleh pemandu.
Di bahagian tengah terletak skrin infotainment yang lengkap termasuk boleh menghubungkan dengan telefon pintar sama ada dihubungkan menerusi kabel atau tanpa kabel.
Antara yang memudahkan penulis ialah penggunaan peta yang ada di dalam telefon pintar disiarkan secara terus di dalam skrin berkenaan.
Saiz tayar kenderaan jenis sedan itu yang mempunyai saiz 285/40 dan rim aloi bersaiz 20 inci sememangnya menjadikan kenderaan itu cukup stabil untuk memandu dalam keadaan laju dan pada waktu hujan. Ia menjadikan pemandu berasa selamat melalui jalan yang basah.
Daripada segi reka bentuk luaran model itu yang masih mengekalkan DNA Taycon menjadikan Taycon 4S kelihatan cukup premium dan mudah untuk mengenali ia adalah model di bawah keluarga Taycon.
Secara keseluruhannya model ini menawarkan pemanduan yang cukup sporty dalam bentuk sedan dan stabil meskipun ia dikuasakan oleh kuasa elektrik sepenuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



