suliati@hmetro.com.my
Shah Alam: Usaha memperkukuh industri halal negara diberi nafas baharu menerusi pembangunan bakat dan kompetensi apabila Agrobank dan Management and Science University (MSU) menyasarkan kelahiran 5,000 penggiat industri halal berpengetahuan dan berkemahiran.
Sasaran itu digerakkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan latihan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelidikan, inovasi serta pembangunan kompetensi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kerjasama dengan MSU adalah langkah penting dalam memperkukuh inisiatif Halal@Agrobank melalui pembangunan bakat dan tenaga profesional yang mampu menyokong pertumbuhan ekosistem halal negara.
Menurutnya, industri halal bukan sahaja memerlukan lebih ramai usahawan, tetapi juga tenaga profesional yang mempunyai kompetensi untuk membantu mereka berkembang dan memenuhi keperluan industri.
“Justeru, pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan pembangunan usahawan.
“Kerjasama dengan MSU ini menyediakan laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun, daripada pendidikan dan latihan kepada penguasaan kompetensi serta aplikasi dalam industri.
“Melalui pendekatan ini, usahawan agromakanan dapat dibantu untuk meningkatkan kefahaman, memperkukuh pematuhan, menambah baik kualiti produk serta menembusi pasaran halal yang lebih luas,” katanya pada Majlis MoU Kerjasama Strategik antara Agrobank dan MSU, di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Pengasas MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, majlis menandatangani MoU itu bakal menjadi platform penting kepada kerjasama pintar MSU dan Agrobank khususnya melalui International Centre for Halal Studies (ICHLAS).
Katanya, selaku salah satu Centre of Excellence (COE) di MSU, ICHLAS bakal berkongsi kepakaran dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan secara inklusif dan holistik.
“Hubungan erat antara universiti dan industri adalah inisiatif penting dalam memastikan pendidikan kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
“Di MSU, kami melihat industri bukan sahaja sebagai rakan strategik dalam menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga sebagai rakan pembangunan yang turut menyumbang kepada pengukuhan kurikulum, pembelajaran berasaskan pengalaman, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat.
“Pendekatan ini memperkukuh ekosistem Industry-Embedded University yang membolehkan MSU melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.
Kerjasama pintar itu adalah kesinambungan kepada inisiatif Halal@Agrobank yang dilancarkan baru-baru ini di Penang International Halal Expo (PIHEX) 2026 dan sebahagian daripada usaha Agrobank memperkukuh sokongan kepada usahawan agromakanan serta pembangunan ekosistem halal negara.
Menerusi kerjasama itu, MSU akan menyediakan kepakaran dalam pendidikan dan latihan termasuk TVET, penyelidikan, inovasi serta pembangunan kompetensi.
Agrobank pula akan menghubungkan kepakaran berkenaan dengan pembangunan usahawan, akses pembiayaan, khidmat nasihat halal dan peluang pasaran.
Selain menyasarkan 5,000 penggiat industri halal, Agrobank turut menyasarkan untuk melahirkan 300 penggiat halal bertauliah yang mempunyai kompetensi khusus dalam bidang halal.
Sasaran itu menyokong Pelan Hala Tuju Halal Agrobank 2026–2030 yang turut menyasarkan pembangunan 10,000 usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar lebih bersedia meningkatkan kapasiti perniagaan, memenuhi keperluan pematuhan halal dan bersaing dalam pasaran lebih luas.
MoU itu juga mencerminkan komitmen berterusan Agrobank dan MSU dalam menyokong agenda pembangunan industri halal negara, keterjaminan makanan serta pembangunan usahawan agromakanan yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd


