Pelakon Que Haidar mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan isterinya, koreografer terkenal Linda Jasmine, pada 2 Julai yang lalu.
Walaupun sudah membawa haluan masing-masing, Que, atau nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 45, memberitahu dia dan Linda masih mengekalkan hubungan baik.
“Allahuakbar, Alhamdulillah itu (perceraian) yang Allah tentukan… Itu yang diaturkan. Saya minta semua mendoakan yang baik-baik untuk saya dan Linda. Kami masih baik, tiada siapa yang inginkan perceraian.
“Mungkin ini yang terbaik, kami masih berkawan demi anak-anak. Perceraian kami berlaku pada 2 Julai lalu,” katanya kepada BH Online.
Apabila ditanya sebab mereka tidak mengumumkan berita perpisahan tersebut lebih awal, pelakon filem Legenda Budak Setan itu menyatakan bahawa isu perceraian terlalu peribadi untuk dikongsi secara terbuka.
“Perkara berkaitan perceraian adalah sangat peribadi dan bukannya untuk dibanggakan. Jadi, lebih baik kita simpan sendiri, mendoakan yang terbaik dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Maksudnya, apa sahaja yang terbaik untuk kedua-dua pihak dan anak-anak. Tidak ada perkara yang perlu diuar-uarkan atau dikongsi,” jelasnya.
Mengulas mengenai punca perceraian, Que agak keberatan untuk menjelaskan lebih lanjut.
Namun, pelakon filem Rock itu menyifatkan apa yang berlaku adalah takdir, dan keputusan itu dibuat dengan cara yang baik.
“Hubungan kami berlangsung dengan baik dan tiada sebarang perbalahan. Apa yang boleh dikatakan, kami sudah tiada persefahaman.
“Keputusan ini juga dibuat secara sepakat. Alhamdulillah, anak-anak juga menerima keputusan ini dengan matang,” ujarnya.
Que dan Linda telah mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua orang anak perempuan, Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12.
Sumber: BH Online.




