am@hmetro.com.my
Beaufort: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia selepas tergelincir lalu terjatuh ke dalam parit ketika bermain bersama rakan-rakannya di Kampung Rancangan Klias, di sini, petang tadi.
Mangsa, Adam Rayyan Rahman Abdullah, 10, ditemukan bapanya yang turun mencarinya di dalam parit berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan mangsa.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Hairul Musli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.16 petang.
“Menurut saksi, mangsa sedang bermain bersama beberapa rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam parit berhampiran lokasi kejadian.
“Rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada bapanya yang segera turun ke dalam parit untuk mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bapa mangsa berjaya menemui anaknya sebelum membawanya pulang ke rumah.
Katanya, pasukan bomba bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis kemudian hadir ke rumah mangsa untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Pemeriksaan oleh petugas KKM mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi membabitkan dua anggota BBP Beaufort itu ditamatkan pada 6.50 petang selepas keadaan dipastikan selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
