am@hmetro.com.my
Padang Rengas: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Ahli Parlimen yang mempersenda beliau secara sinis dengan perkataan ‘ketimbang’ baru-baru ini sebagai orang bingung.
Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin masyarakat, Ahli Parlimen itu sepatutnya meningkatkan penguasaan bahasa.
“Saya pakai songkok senget pun dia marah, pakai baju Melayu dengan capal pun tak kena.
“Saya guna istilah baru seperti ketimbang pun dia bingung sikit, tak faham. Kita jadi pemimpin, kita tingkatkan penguasaan bahasa.
“Dulu tiada mampan, saya perkenalkan. Tiada telus, saya perkenalkan. Tidak popular kesenjangan, kita popularkan. Jadi kita didik anak-anak supaya gunakan bahasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Padang Rengas di sini, hari ini.
Pada hari pertama perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata, perkataan ‘ketimbang’ membawa maksud kencing, tipu dan sembang.
Perkataan itu mendapat perhatian ramai berikutan sering diucap oleh Anwar termasuk semasa membentangkan Belanjawan 2025.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu melayan cemuhan segelintir pihak, sebaliknya mahu menumpukan tumpuan kepada tugas.
“Bagi saya, kalau nak jawab benda ini letih kita, kerja tak jalan. Saya singgung perkara ini kerana (jika) tak jawab, orang kadang keliru. Jawab sikit-sikit bolehlah, kita nak tumpu kerja.
“Sebab itu saya nak nasihat kawan-kawan dari semua parti, buat kerja, nak gaduh tunggu pilihan raya, sekarang kerja. Angkat martabat rakyat dan negara kita,” katanya.
Kelmarin, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilaporkan akan memasukkan perkataan ‘ketimbang’ yang sering disebut oleh Anwar dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua.
DBP dipetik berkata, perkataan itu adalah kata sendi nama yang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




