asyikin.mat@hmetro.com.my
SEGELINTIR masyarakat mengabaikan penyusuan susu ibu kepada anak kerana menganggap susu formula adalah pengganti susu ibu yang baik.
Tanggapan ini salah kerana susu ibu adalah paling baik untuk bayi dari segi khasiatnya yang tiada tandingan dengan susu lain.
Kebanyakan bayi yang diberikan penyusuan susu ibu membesar dengan baik dan sihat.
Aktivis Kumpulan Sokongan Penyusuan Ibu, Khadijah Saraswathy Abdullah berkata, senario ini berlaku kerana mereka tidak mengetahui kandungan susu ibu terutama kolustrum.
Menurutnya, kolustrum ialah susu awal ibu berwarna kekuningan yang dihasilkan daripada bulan ketujuh kehamilan hingga beberapa hari selepas kelahiran bayi.
“Susu ini mengandungi pelbagai nutrien mencukupi dengan kandungan protein lebih tinggi.
“Ia bertindak sebagai imunisasi pertama menentang bakteria dan membantu dalam pembentukan bakteria baik untuk usus bayi,” katanya.
Malah katanya, penyusuan susu ibu juga turut mengandungi antibodi yang melindungi bayi daripada virus dan penyakit.
“Kebaikan lain adalah menggalakkan perkembangan daya intelek lebih baik.
“Di samping itu mengurangkan masalah gigi dan ortodontik serta mengelakkan masalah cirit-birit,” katanya.
Khadijah Saraswathy berkata, uniknya susu ibu ialah kandungan zatnya berubah mengikut keperluan bayi.
“Bayi yang minum susu ibu tidak memerlukan air tambahan walaupun dalam cuaca panas kerana mempunyai kandungan airnya mencukupi yang memenuhi keperluan mereka.
“Malah susu ibu tidak akan membebankan buah pinggang bayi serta tidak menyimpan cecair berlebihan yang tidak diperlukan,” katanya.
Tambahnya, satu deklarasi ‘Global Breastfeeding Goal’ diisytiharkan pada 1990 yang menyatakan wanita disarankan mengamalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif kepada bayi berusia antara empat hingga enam bulan.
“Kemudian penyusuan susu ibu boleh diteruskan, tetapi ditambah dengan pemberian makanan tambahan seperti bubur dan sebagainya.
“Perisytiharan ini (Global Breastfeeding Goal) dilakukan satu agensi di bawah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan sebahagian kumpulan saintifik turut membuat kajian mendapati susu ibu adalah terbaik.
“Selain itu, turut mempunyai bukti mengenai kandungan tidak baik dalam susu formula,” katanya.
Katanya lagi, susulan itu, Malaysia mengambil langkah menetapkan Polisi Penyusuan Susu Ibu.
“Kandungan polisi ini menyatakan semua ibu digalakkan menyusukan anak dengan susu mereka sahaja dari lahir hingga berusia enam bulan dan meneruskan sehingga mencapai usia dua tahun.
“Manakala makanan pelengkap perlu diberikan mulai usia enam bulan,” katanya.
Khadijah Saraswathy berkata, penyusuan susu ibu juga memberi kebaikan kepada ibu berkenaan.
“Antaranya mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak, membantu mengecutkan rahim serta mengelakkan pendarahan selepas bersalin.
“Selain itu, mengurangkan risiko mendapat kanser payudara dan ovari serta mengurangkan berat badan (jika disertai dengan senaman dan pemakanan sihat),” katanya.
Menurutnya, tidak dinafikan ada wanita yang berhadapan masalah susu badan berkurangan selepas beberapa bulan bersalin.
“Saya ingin berkongsi tips untuk menggalakkan penghasilan susu iaitu sentiasa memberikan anak susu secara terus daripada payudara.
“Sekiranya anak kenyang, pam payudara supaya kosong. Dalam keadaan ini (payudara kosong), saraf akan menghantar isyarat ke otak untuk menghasilkan susu,” katanya.
Katanya, suami juga perlu memainkan peranan sepanjang tempoh isteri menyusukan anak dengan memberikan sokongan emosi melalui cara menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan.
“Contohnya turut bangun malam menemani isteri menyusukan anak sambil mengurut belakang badannya. Sentuhan suami boleh membuatkan isteri lebih tenang.
“Cara ini dapat mengelakkan isteri daripada stres dan kerana ia (stres) boleh mengganggu penghasilan susu,” katanya.
Tambahnya lagi, selain suami, sokongan keluarga dan masyarakat turut penting dalam memberi sokongan kepada ibu menyusukan anak.
“Ini memberi peluang ibu menyusukan anak dengan lebih yakin dan tenang tanpa gangguan. Ada kalanya mereka (masyarakat) tidak faham situasi itu (ibu menyusukan anak) dan menjadi penghalang mereka (ibu) melaksanakan tugas ini (menyusu) sebaiknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




