Mengetengah karya pelukis tempatan

Mengetengah karya pelukis tempatan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: UOB Malaysia secara konsisten menghargai karya pelukis tempatan dengan menganjurkan UOB Painting Of The Year (UOB POY) Malaysia 2024 yang memasuki penganjuran ke-14 pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, hasil kerja golongan ini sentiasa istimewa bagi syarikatnya, yang mempercayai setiap lukisan mempunyai aura tersendiri yang mampu diterjemahkan menjadi tenaga positif untuk UOB sentiasa bergerak ke hadapan.

“Selain itu, pengerusi terdahulu UOB , mendiang Pengerusi Emiritus Dr. Wee Cho Yaw sangat menyukai hasil seni. Dan minat mendalam kepada cabang ini telah turun kepada anaknya yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan UOB, Wee Ee Cheong yang turut menyukai hasil tangan artis.

“Kami percaya seni kreatif merupakan salah satu cabang yang membangunkan negara, lantas UOB akan terus menghargai serta menyokong mereka yang berada dalam industri ini,” katanya pada Malam Anugerah UOB POY Malaysia 2024 di Sentul Pavilion, di sini, baru-baru ini.

Menceritakan sejarah mengenai UOB POY, pertandingan tersebut bermula lebih tiga dekad lalu di Singapura namun hanya 14 tahun bertapak di Malaysia setelah melihat lebih ramai anak seni lahir di negara ini.

Kata Wei Wei, hal ini dibuktikan apabila jumlah artis yang menghantar karya mereka di UOB POY Malaysia semakin bertambah saban tahun, sekaligus menjadikan UOB POY Malaysia antara salah satu pertandingan seni terbesar di negara ini.

“Saya berani mengatakan bahawa UOB POY merupakan pertandingan seni yang menawarkan hadiah wang kemenangan paling tinggi di negara ini.

“Selain wang tunai, UOB akan menyalurkan bantuan kepada pemenang tersebut untuk menambah ilmu serta kemahiran seni bagi mereka mencipta peluang menganjurkan pameran lukisan mereka sendiri,” jelasnya.

Menurutnya, lukisan Yim Yen Sum, pemenang UOB POY 2016 telah dipamerkan semasa Minggu Kesenian Hong Kong yang berlangsung di Pusat Kesenian Hong Kong awal tahun ini.

Malah pemenang anugerah emas kategori Pelukis Harapan tahun lalu, Ahmad Syakir Hashim telah ditaja UOB untuk menganjurkan pameran lukisan pertamanya di peringkat antarabangsa di pusat kesenian UOB di Art Jakarta.

Seperti UOB POY sebelum ini, sebanyak dua kategori yang diperkenalkan pertandingan tersebut iaitu anugerah Pelukis Mapan (lukisan terbaik) dan anugerah Pelukis Harapan.

Bagi kategori Pelukis Mapan, karya Durio nukilan pelukis berpengalaman Hasanul Isyraf Idris dipilih sebagai lukisan terbaik, sekaligus berjaya membawa pulang wang tunai RM100,000 dan trofi.

Beliau berjaya menewaskan tiga pelukis lain, Hug Yin Wan (Anugerah Emas), Muhamad Amsyar Ramly (Anugerah Perak dan Mairul Nisa Malek (Anugerah Gangsa).

Kemenangan tersebut sekaligus membolehkan Hasanul mewakili Malaysia bagi pertandingan UOB POY peringkat Asia Tenggara 2024 yang akan berlangsung di Singapura pada 13 November ini.

Bagi Hasanul, 46, kemenangan tersebut amat bermakna baginya kerana beliau mengambil masa empat tahun untuk melihat sendiri proses pertumbuhan pokok durian serta objek yang menjadi subjek dalam lukisannya.

“Setiap hujung minggu, saya akan pergi ke kebun durian berhampiran rumah di Selama, Perak bagi melihat sendiri proses pembungaan sehingga terhasilnya buah tersebut di sesebuah pokok.

“Saya akan mengambil gambar terlebih dahulu, mengumpulkannya kesemua gambar ini dan menyusun di dalam telefon pintar. Mendekati lebih sebulan sebelum hari peserta perlu menghantar lukisan mereka, saya mula melukis Durio,” kata pelukis sepenuh masa itu.

Ujar pemenang Anugerah Emas bagi kategori Pelukis Mapan UOB POY Malaysia 2023 itu, beliau memperuntukkan masa lapan jam setiap hari dalam tempoh lebih sebulan di meja lukisan bagi menyiapkan Durio.

Manakala anugerah Pelukis Harapan dimenangi graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Nurul Shahida Ibrahim yang mempertaruhkan lukisan yang diberi nama Baruh.

Beliau berjaya menewaskan Ahmad Muhamad Mohamed Kamal (Anugerah Emas), Lee Yaw Chu (Anugerah Perak) dan Aer Loo Xin Theng (Anugerah Gangsa), lantas membawa pulang wang tunai RM16,000 serta trofi.

Menceritakan idea penghasilan Baruh, kata Nurul Shahida, Baruh diinspirasi daripada jerih perih warga petani yang bekerja setiap hari menanam dan menuai padi di kampung halamannya di Yan, Kedah.

“Melihat kesusahan mereka menanam padi sehingga ia menjadi beras di atas pinggan, saya menzahirkan Baruh sebagai menghargai usaha mereka, di samping saya sendiri seorang anak petani.

“Saya ceritakan idea untuk melukis Baruh kepada suami, Azwan Osman. Dia bersetuju dengan idea berkenaan dan turut membantu dalam proses menyiapkan karya berkenaan,” katanya yang turut menjual hasil lukisannya di media sosial.

Jelas Nurul Shahida, menghasilkan Baruh bukannya mudah kerana lukisan tersebut adalah gabungan seni lukis dan tenunan, justeru beliau mengambil masa dua bulan untuk menyiapkannya.

Ditanya mengenai apa yang hendak digunakannya dengan wang hadiah kemenangan, beliau bercadang untuk membeli beberapa peralatan lukisan baru bagi menyiapkan lukisan yang dirancangnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top