am@hmetro.com.my
Melaka: Bayi lelaki berusia sebulan tercampak keluar dari kenderaan yang dinaikinya selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah Melaka Tengah Jasin (AMJ) berhampiran stesen Minyak Petronas Balai Panjang di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, bayi berkenaan yang menaiki Proton Saga bersama ibu bapanya mengalami bengkak di bahagian kepala akibat kemalangan itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Halim Abas berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki mangsa keluar dari kawasan stesen minyak Petronas untuk memasuki Lebuh AMJ sebelum terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.
Menurutnya, ketika kejadian, bayi berkenaan sedang diriba ibunya yang berada di tempat duduk belakang sebelum mangsa dipercayai tercampak keluar dan ditemukan di kawasan berumput berhampiran lokasi kejadian.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala wanita berusia 25 tahun yang juga ibu kepada bayi terbabit mengalami sakit belakang.
“Bayi bersama ibunya dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun dibenarkan pulang selepas keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Halim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kenderaan yang dipercayai terbabit dalam insiden itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Adhwa Jamal di talian 01126905852 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




