Cukuplah lakukan perkara susahkan anak

Cukuplah lakukan perkara susahkan anak

norhayati_nordin@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah, 65, menyifatkan kisah kemelut rumah tangga dihadapi segelintir pasangan selebriti ketika ini adalah proses kehidupan yang sudah Allah tentukan.

Jamal berkata, dia bagaimanapun bersyukur rumah tangga dibina bersama isteri tercinta, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, kini disulam bahagia dengan menunggu kehadiran anak kelima pada Januari tahun depan.

“Saya buat masa ini, cukuplah. Walau apa pun keadaannya, anak saya pun dah lima masuk Januari depan. Cukuplah nak buat benda-benda dan perkara yang menyusahkan anak-anak.

“Apa yang sudah saya rancang ini, saya bermohon pada Allah hanya inilah saya mampu buat untuk anak-anak dan isteri saya,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada sidang media Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, hari ini

Menurut Jamal, dia juga sebenarnya tidak mengikuti cerita kemelut rumah yang berlaku pada kalangan selebriti, termasuk menyangkal perpisahan terjadi adalah ‘trend’ masa kini.

“Saya juga pernah melalui apa yang dihadapi pasangan itu (bercerai). Ia adalah proses kehidupan yang sudah Allah tentukan dan jalani saja,” katanya.

Ditanya sama ada dirinya masih menerima godaan daripada peminat wanita, Jamal berkata, dia selalu elak dan tidak memikirkan perkara itu.

“Dalam pemikiran saya adalah status saya sebagai suami dan ada anak-anak. Bila ada unsur-unsur begitu (cubaan digoda) saya menunduk dan jalan terus balik ke rumah.

“Saya tak mahu fikir dah benda-benda ini, cukuplah. Sebab, umur saya pun bukan 30-an lagi. Macam mereka, mungkin masih muda dan dan kacak. Tapi, bagi saya ini sudah berusia,” katanya.

Jamal bernikah dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan mereka dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 6, El Isaac Yamani, 5, Iskandar Rayyan Yamani, 3, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2.

Zai Izzati juga kini sarat hamil anak kelima.  Selain itu, Jamal turut memiliki dua lagi anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 22, dan Ahmad Zaki Yamani, 18. 

Mengenai Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, ia akan berlangsung pada 15 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur (KL) yang akan menggamit kenangan terindah pada era 1980-an.

Kata Jamal, dia teruja menjayakan konsert itu yang diharap dapat menghiburkan peminat-peminatnya yang membeli tiket dengan rangkaian lagu popular terutama mengingatkan kenangan Zack dan Azura.

Pada 1984 iaitu kira-kira 40 tahun lalu, Jamal pernah meraih populariti hebat menerusi filem Azura yang dibintanginya bersama pelakon Fauziah Ahmad Daud atau Ogy. 

Bagaimanapun, dalam Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, dia akan menyanyikan lagu Sandarkan Pada Kenangan bersama penyanyi Wany Hasrita sebagai bintang undangan.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top