Bawa kebinasaan sebelum ditewaskan menjelang kiamat

Bawa kebinasaan sebelum ditewaskan menjelang kiamat

saufi@mediaprima.com.my

Peristiwa kiamat pasti akan berlaku kerana ia sudah dijanjikan oleh Allah SWT dan antara episod yang sangat menarik direkodkan adalah keluar golongan Yakjuj dan Makjuj sekali gus membawa kebinasaan kepada bumi.

Peristiwa Yakjuj dan Makjuj ini direkodkan di dalam al Quran pada Surah al-Kahfi ayat 92 hingga 98 bermaksud: “Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua-duanya suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata: ‘Hai Zulqarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi maka dapatkah kami memberikan suatu pembayaran kepadamu supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka? Zulqarnain berkata: Apa yang dikuasakan oleh Rabbku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka, berilah aku potongan-potongan besi. Hingga apabila besi itu sama rata dengan kedua-dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulqarnain: Tiuplah (api itu). Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar kutuangkan ke atas besi panas itu. Maka mereka tidak dapat mendakinya dan mereka tidak dapat (pula) melubanginya. Zulqarnain berkata: Ini (dinding) adalah rahmat daripada Rabbku maka apabila sudah datang janji Rabbku Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Rabbku itu adalah benar.'”

Surah al-Kahfi secara jelas menceritakan tentang Yakjuj dan Makjuj atau dalam dunia Barat, golongan ini dikenali dengan nama Gog and Magog.

Baru-baru ini, seorang pengkaji dan juga pendakwah bebas, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Amin menjejaki lokasi yang dikatakan tembok Yakjuj dan Makjuj iaitu di sekitar Darial Gorge di sempadan Georgia-Rusia.

Menerusi perkongsiannya di beberapa ceramah dan status Facebook menyatakan lokasi itu antara lokasi yang disepakati oleh ulama yang mengkaji peristiwa akhir zaman.

Beliau juga membawa pulang sampel batu-batuan untuk kajian pembuktian secara saintifik dan kawasan yang mengandungi komposisi besi hanya di bahagian Georgia.

Ustaz Amin memaklumkan bahasa Georgia juga sukar difahami dan bentuk bahasa yang tiada asas dalam rumpun bahasa negara Eropah seperti kumpulan keluarga Slavik, Indo-Eropah, Semitik Yahudi, Arab dan sebagainya sekali gus mirip kepada keterangan bangsa Yakjuj dan Makjuj yang direkodkan di dalam al-Quran.

Untuk rekod, bahasan di sekitar kawasan itu hanya boleh dituturkan oleh penduduk tempatan.

Pakar linguistik membuat kajian dan mengakui ia tidak sama dengan mana-mana kumpulan bahasa yang wujud dalam dunia.

Walaupun tembok Zulqarnain itu tidak dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran atau mana-mana sumber lain, pengkajian terhadap lokasinya masih terbuka dan ia turut membuktikan mukjizat al-Quran.

Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Nabi Adam daripada anak Nabi Nuh AS yang mempunyai tiga zuriat iaitu Sam, Ham serta Yafits. Kemudian anak Yafits pula bernama Mada, Yunan, Makjuj, Tubal, Misk dan Tiran. Yakjuj dan Makjuj adalah daripada keturunan Yafit.

Dalam Ensiklopedia Akhir Zaman dikatakan wajah mereka mirip orang Mongolia atau Tartar. Sifat mereka sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadis iaitu tidak fasih berbicara, sepet matanya, kecil hidungnya, perang (merah) rambutnya dan lebar dahinya.

Rasulullah SAW pernah berkhutbah dalam keadaan jarinya dibalut kerana disengat kala jengking, baginda bersabda: “Kamu mengatakan tidak ada musuh. Padahal sesungguhnya kamu akan terus memerangi musuh sampai datangnya Yakjuj dan Makjuj, lebar mukanya, kecil (sepet) matanya dan ada warna putih di rambut atas. Mereka mengalir dari tempat yang tinggi, seakan-akan wajah mereka seperti perisai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Daripada sudut bilangan mereka pula, Nabi Muhammad SAW bersabda: “…di antara Yakjuj dan Makjuj seramai 999 dan daripada kalian satu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hasil pertemuan itu mereka dimaklumkan, memang penduduk di situ setiap hari akan mengetuk pintu besi Yakjuj dan Makjuj tiga kali sehari dan kemudian merapatkan telinga pada pintu untuk mendengar reaksi dari dalam tembok berkenaan.

Ayat al-Quran menceritakan ketika Raja Zulkarnain tiba di negeri berdekatan dua bukit (Armenia), penduduk di situ meminta pertolongannya kerana menjadi mangsa kekejaman kaum Yakjuj dan Makjuj.

Raja Zulkarnain yang masyhur dengan kekuatan tentera dan kebijaksanaannya menawarkan bantuan secara percuma lalu dibina dinding di antara dua bukit itu dari potongan besi lalu dibakar dengan api dan kemudian dituangkan tembaga agar dinding kuat serta kukuh. Akibatnya, Yakjuj dan Makjuj tidak lagi dapat masuk ke negeri itu kerana mereka tidak boleh mendaki bukit atau membuat lubang melaluinya.

Persoalannya, bilakah tembok Yakjuj dan Makjuj ini akan terbuka? Dalam satu hadis Nabi SAW menyatakan bahawa setiap hari kerja sebahagian Yakjuj dan Makjuj ialah menebuk tembok. Ketua mereka mengarahkan apabila malam hampir tiba, baliklah dahulu dan kerja menebuk disambung semula keesokannya.

Begitulah kerja sebahagian mereka setiap hari sehingga satu masa yang ditentukan Allah, ketua mereka akan mengungkapkan ayat dengan menyebut perkataan insya-Allah. iaitu “Baliklah kamu esok kita sambung semula insya-Allah tembok akan terbuka.” Maka kerana perkataan itulah keesokan harinya ketika mereka melakukan kerja menebuk, tembok berkenaan akan terbuka. Ini disebabkan ketua mereka menyebut perkataan insya-Allah.

Tiada siapa yang mampu membunuh Yakjuj dan Makjuj hatta Nabi Isa AS yang diturunkan ke bumi sendiri tidak mampu membunuhnya. Nabi Isa AS dan Muslimin yang bersama dengannya berdoa kepada Allah lalu Allah makbulkan doa mereka. Allah menghantar sejenis virus seperti dalam hidung unta dan menyerang setiap leher Yakjuj dan Makjuj hingga mereka akhirnya mati sekali gus. Dikatakan banyaknya mayat mereka seperti bangkai belalang.

Kematian itu menyebabkan bumi berbau busuk selain mayat manusia yang dibunuh mereka. Nabi Isa AS bersama Muslimin berdoa lagi kepada Allah supaya menyelesaikan masalah mayat manusia yang sangat banyak.

Lalu Allah menghantar sejenis burung besar dan mengangkat mayat Yakjuj dan Makjuj serta manusia lain ke satu tempat yang cuma Allah sahaja mengetahuinya.

Tetapi sisa-sisa darah dan nanah masih berbau busuk. Mereka berdoa lagi kepada Allah supaya menghilangkan bau busuk itu. Kemudian Allah menurunkan hujan yang lebat membersihkan seluruh bumi daripada sisa-sisa dan bau busuk. Bumi akhirnya bersih sebersih-bersihnya sehingga air hujan turun seperti manik jernih yang jatuh.

Penulis wartawan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top