Arsenal kena kecam, Arteta tak peduli

Arsenal kena kecam, Arteta tak peduli

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta membalas kritikan terhadap kebergantungan pasukannya kepada situasi bola mati, sambil menyatakan kekecewaan kerana pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak menjaringkan lebih banyak gol menerusi situasi berkenaan.

Skuad kendalian Arteta kini mendahului liga dengan kelebihan lima mata, sebahagian besarnya hasil kejayaan mereka memanfaatkan sepakan sudut dan situasi bola mati.

Mereka menyamai rekod satu musim Liga Perdana bagi jaringan menerusi sepakan penjuru apabila meledak dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Chelsea, Ahad lalu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 16 gol daripada sepakan sudut musim ini.

Namun kecemerlangan Arsenal sejak Nicolas Jover mengambil alih peranan jurulatih bola mati mencetuskan kritikan kononnya mereka terlalu bergantung kepada taktik itu.

Perdebatan sama ada situasi bola mati merosakkan keindahan bola sepak semakin hangat diperkatakan, dengan pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui beliau tidak lagi seronok menonton beberapa perlawanan Liga Perdana.

Bekas penyerang Chelsea, Chris Sutton yang pernah menjuarai liga bersama Blackburn Rovers, pula menyifatkan Arsenal akan menjadi juara Liga Perdana ‘paling hodoh’ sekiranya mereka menjulang trofi musim ini.

Arteta bagaimanapun tidak berganjak dengan pendiriannya dan menegaskan satu-satunya perkara yang merisaukannya ialah memastikan Arsenal menjadi lebih efisien dalam memanfaatkan situasi bola mati.

“Saya kecewa kerana kami tidak menjaringkan lebih banyak gol, dan kami juga masih bolos,” katanya kepada wartawan menjelang aksi menentang Brighton.

“Kami mahu menjadi pasukan terbaik dan paling dominan dalam setiap aspek permainan. Itulah hala tuju dan sasaran pasukan ini, dan sebagai kelab, kami mahu berada pada tahap itu. Jadi kami akan terus berusaha ke arah itu,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau terkejut dengan kritikan terhadap pasukannya, Arteta menjawab ringkas: “Itu sebahagian daripada tugas.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top