amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) melihat dasar baru gaji minimum RM1,700 satu langkah jangka panjang bagi memastikan warga pekerja mempunyai pendapatan baik sesuai dengan persekitaran dan membantu dalam kuasa beli rakyat.
Presidennya, Mohd Azamanizam Baharon berkata, secara tidak langsung memastikan pasaran tenaga separuh kemahiran atau tanpa kemahiran terus bekerja dalam negara selepas mendapat pendidikan dan latihan dalam negara.
Beliau berkata, dasar itu dapat mengurangkan secara keseluruhan pergantungan pekerja asing dan memanfaatkan ‘talent’ atau bakat dan kemahiran warga tempatan.
“Diakui ia memberi kesan kepada pertambahan kos kepada majikan, sebagai contoh jika Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menggajikan 20 pekerja am, ia memberi tambahan kos operasi menjadi RM4,000 sebulan.
“Namun Perdasama berharap agar kerajaan menyediakan dana atau pinjaman tanpa faedah terutama peningkatan operasi yang moden dan automasi menjadikan operasi syarikat lebih cekap dan mampan.
“Agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC) diharap membantu usahawan PMKS ke arah digitalisasi, automasi dan AI dengan kelulusan yang mudah dan cepat,” katanya.
Beliau mengulas penghargaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengucapkan terima kasih kepada pengerusi, lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana bersetuju menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama menyahut seruan kerajaan, naikkan kadar gaji minimum anggota TNB.
© New Straits Times Press (M) Bhd




