am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Susulan kesempitan hidup yang dialami keluarga, Nurul Tasnim Sofea Mohd Syukri, 19, melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran, sebaliknya mengambil upah mengajar al-Quran di Madrasah Al-Iman, Kampung Kedak, di sini
Nurul Tasnim Sofea menggunakan kemahiranya sebagai lepasan pelajar sekolah menengah agama untuk mengajar mengaji lebih 50 anak kampung di mukimnya bersama beberapa tenaga pengajar lain dengan upah sekitar RM200 sebulan.
Katanya, dia mengambil sahaja peluang untuk mencari wang kerana perlu membantu ibu, Zalina Mohd Nor, 40, yang menjaga bapa terlantar, Mohd Syukri Mat Daud, 47, dan nenek, Rahmah Che Deraman, 84, yang sakit tua.
“Bapa terbabit dalam kemalangan pada awal September lalu, menyebabkan dia kini hanya terlantar akibat kecederaan teruk pada bahagian kaki dan kepala. Kini, ibu yang hanya mengambil upah menjahit dan membaiki seluar menjadi satu-satunya tempat kami bergantung harap.
“Selain itu, pendapatan ibu dan saya tidak seberapa memandangkan kami juga perlu memikirkan kos perubatan bapa, lampin pakai buang nenek selain empat adik-beradik yang masih kecil dan bersekolah.
“Ada masanya ibu serta bapa saudara menghantar wang belanja untuk membantu kami di kampung, tetapi bukanlah dalam jumlah yang besar kerana mereka juga hidup bersederhana” katanya ketika ditemui di Kampung Kedak, di sini, semalam.
Nasib Nurul Tasnim sekeluarga turut mendapat perhatian Yayasan Raja Shamri (YRS) selain mendapat kunjungan Wakil Thirdforce dibawah YRS, Tuan Zaimah Raja Omar yang tampil menyampaikan sumbangan kewangan, barangan keperluan asas serta cuba membantu agar dia dapat melanjutkan pelajaran.
Nurul Tasnim yang juga anak sulung berharap dapat menyambung pelajaran dalam bidang pastri di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) memandangkan minatnya dalam jurusan berkenaan selain dilihat boleh membantunya mencari pendapatan kelak.
“Namun buat masa sekarang, ia mustahil kerana kehidupan keluarga yang serba kekurangan. Saya cuba membantu ibu dengan mencari kerja di sekitar kampung selain turut menguruskan makan minum untuk bapa dan nenek yang sakit.
“Sebagai anak sulung, saya tidak mahu adik saya keciciran dalam pelajaran kerana hanya ilmu boleh merubah nasib kami sekeluarga ke arah yang lebih baik,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga sudah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain sudah dihubungi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
© New Straits Times Press (M) Bhd




