am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis menahan lapan lelaki termasuk seorang pelajar Tingkatan Dua yang disyaki terbabit dalam pergaduhan berhampiran sebuah sekolah menengah di daerah Klang Selatan dekat sini, petang Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu kira-kira jam 1 pagi.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku jam 6.50 petang, 19 Mei lalu.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya menangkap lapan lelaki tempatan berumur antara 14 hingga 24 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.
“Hasil siasatan awal mendapati sebahagian daripada tangkapan masih berstatus pelajar sekolah, manakala selebihnya tidak bersekolah.
“Punca dan motif pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham dan ejek-mengejek di antara dua kumpulan remaja berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Jit Huey berkata, insiden berkenaan tidak membabitkan sebarang unsur kongsi gelap atau kumpulan gangsterisme.
Beliau berkata, permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas semua tangkapan dipohon hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan proses siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk tampil menyalurkan terus ke IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 26 saat memaparkan pergaduhan kumpulan berkenaan berhampiran sekolah menengah terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




