rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz meluahkan perasaan gembira setelah misi tiga mata yang disasar menjadi kenyataan apabila menewaskan kelab dari Korea Selatan, Pohang Steelers 2-0 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Pohang Steel Yard, di Pohang, Korea Selatan, semalam.
Jelas Munoz walaupun sedar skuad kendalian Park Tae Ha memiliki kekuatan yang hebat, namun kemenangan diraih JDT kerana setiap pemain memahami bagaimana mengimbangi pendekatan taktikal dan menangkis gerakan berbahaya pemain lawan.
“Gaya permainan kami amat jelas iaitu kerap beri tekanan terhadap benteng lawan tanpa membuka ruang di kawasan tengah bagi mereka bergerak malah ia penting untuk terus mengekalkan permainan berintensiti tinggi. Apapun para pemain menunjukkan aksi menakjubkan bagi memastikan kemenangan
“Taktikal itu penting bagi memastikan pemain kami sentiasa memberi reaksi positif untuk mengimbangi permainan bagi memastikan tidak berlaku kekerapan hilang bola dan tindak balas setiap pemain kami cukup efektif malah ada ketika kami harus tangani situasi tertentu bagi mengelak pemain lawan melancar gerakan berbahaya.
“Dalam tempoh 90 minit permainan, pemain kami mengekalkan penguasaan bola pada babak kedua dan bergerak mencari ruang kosong ketika mengatur serangan dan dua elemen itu beri impak bagi memastikan kemenangan dalam aksi yang begitu mencabar,” katanya.
Bekas pengendali Watford dan Sheffield Wednesday itu juga menegaskan perkara penting meraih kemenangan di tempat lawan lebih terarah membentuk taktikal serangan dan kekerapan melakukan percubaan ke gawang lawan serta menyusun permainan teratur dengan mendominasi kawalan bola sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, wira JDT yang meledak dua gol bagi memastikan kemenangan, Marcos Guilherme nyata tidak dapat menyembunyikan keterujaan selepas membantu skuad Harimau Selatan menewaskan Pohang sambil menyifatkan ia perlawanan sukar.
“Kami sememangnya layak untuk menang dalam perlawanan itu walaupun ia cukup mencabar malah semuanya hasil kerja keras dengan memberi komitmen 100 peratus sepanjang latihan bagi persiapan menentang kelab dari Korea Selatan.
“Musim lalu, kami layak ke suku akhir dan pada musim ini tampak lebih mencabar tapi itu bukan alasan kerana kami akan berusaha mengekalkan momentum walaupun agak sukar tapi semuanya tidak mustahil jika kami kekal konsisten sepanjang aksi pada saingan ACLE,” kata Guilherme.
© New Straits Times Press (M) Bhd




