Las Vegas: Bekas ketua kumpulan geng dijatuhi hukuman penjara 40 tahun hingga seumur hidup pada Selasa kerana merancang pembunuhan bintang hip-hop, Tupac Shakur, dalam serangan tembakan dari kenderaan pada 1996 di Las Vegas, sekali gus menamatkan pendakwaan bagi kes pembunuhan yang sekian lama tidak dapat diselesaikan dan mencorakkan era kegemilangan muzik rap.
Duane “Keffe D” Davis, 63, yang didapati bersalah oleh juri pada Ogos atas kesalahan membunuh tahap pertama, tidak menunjukkan sebarang emosi ketika dijatuhi dua hukuman penjara berturut-turut, masing-masing 20 tahun hingga seumur hidup, iaitu bagi kesalahan membunuh dan menggunakan senjata berbahaya.
Dalam prosiding selama sejam di mahkamah Las Vegas, Davis yang digari pada pinggang dan memakai pakaian penjara berwarna biru sempat bertengkar dengan hakim mengenai jumlah pengurangan hukuman yang layak diterimanya berdasarkan tempoh tahanan yang sudah dijalani. Namun, dia tidak banyak bercakap sepanjang prosiding itu.
Apabila diberi peluang untuk menyampaikan kenyataan terakhir kepada mahkamah, dia berkata: “Saya cuma mahu barang-barang saya dikembalikan, yang mereka ambil dari rumah saya,” merujuk kepada bahan bukti yang dirampas penyiasat dari kediamannya.
Hakim Carli Kierny kemudian bertanya sama ada Davis mempunyai perkara lain untuk disampaikan sebelum hukuman dijatuhkan.
“Saya sudah selesai. Saya pasti akan merayu kes ini,” katanya.
Peguamnya, Michael Sanft, turut berikrar akan mengemukakan rayuan.
Legasi keganasan
Sebelum Davis ditahan pada 2023, pembunuhan Shakur yang ditembak ketika duduk di tempat penumpang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu eksekutif syarikat rakamannya, Marion “Suge” Knight, kekal hampir tiga dekad sebagai antara kes pembunuhan tidak selesai paling terkenal di Amerika Syarikat (AS).
Pembunuhan itu meragut nyawa seorang artis rap yang antara paling berjaya dari segi komersial dan berpengaruh, selain mengukuhkan imej keganasan yang menyelubungi budaya hip-hop pada 1990-an serta menyemarakkan perseteruan terkenal antara rap “gangsta” Pantai Timur dan Pantai Barat pada era berkenaan.
Walaupun Davis disabitkan atas pembunuhan itu dan menjadi satu-satunya individu yang pernah didakwa berhubung kematian Shakur, persoalan mengenai siapa yang melepaskan tembakan maut terhadap legenda rap berusia 25 tahun itu masih belum diputuskan secara muktamad.
Shakur, yang menjadi lebih popular selepas kematiannya berbanding ketika masih hidup, terkenal dengan lirik mentah yang sarat dengan unsur keganasan, seks dan kata-kata kesat, menggambarkan kehidupan di kawasan setinggan.
Album studio keempatnya, All Eyez on Me, yang dilancarkan beberapa bulan sebelum pembunuhannya, mengetengahkan imej dirinya sebagai individu yang melanggar undang-undang.
Beliau dilantik ke dalam Dewan Kemasyhuran Rock and Roll pada 2017.
Dalam kenyataan mengenai kesan jenayah yang disampaikan dengan penuh sebak di mahkamah pada Selasa, adik Shakur, Sekyiwa Shakur, 51, berkata ibu mereka “membesarkannya untuk menjadi seorang aktivis hak asasi manusia” dan cuba menyemai kepercayaan dalam diri abangnya bahawa dia mampu mengubah dunia ke arah yang lebih baik.
“Dia mempercayai ibu kami. Dia melangkah ke dunia untuk melakukannya. Saya percaya dia pasti berjaya,” kata Sekyiwa yang berpakaian hitam kepada hakim.
‘Dunia tidak pernah melupakannya’
Davis dibicarakan dan disabitkan kesalahan kerana merancang pembunuhan itu sebagai tindakan membalas dendam selepas anak saudaranya dipukul oleh Shakur dan anggota rombongan penyanyi itu di dalam kasino MGM Grand di Las Vegas Strip pada 7 September 1996.
Pihak berkuasa berkata mereka sejak sekian lama percaya Davis terbabit dalam pembunuhan Shakur, tetapi tidak mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwanya.
Keadaan berubah apabila Davis mendedahkan kisahnya kepada umum menerusi penampilan media dan sebuah memoir. Bahan itu, bersama rakaman pertemuan rahsianya dengan penyiasat, menjadi sebahagian besar asas pendakwaan dalam kes pembunuhan berkenaan.
Dalam bukunya, Compton Street Legend, Davis sendiri menulis bahawa dia dianggap sebagai suspek dalam pembunuhan Shakur dan seorang lagi penyanyi rap, Christopher Wallace, yang merupakan pesaing Shakur.
Ketika bercakap kepada Davis pada Selasa, Kierny berkata dakwaannya bahawa dia sudah berubah sejak 1990-an dan meneruskan kehidupannya tidak memadai.
“Anda tidak boleh merampas seorang lelaki daripada keluarganya,” kata Kierny, merujuk kepada Shakur.
“Dunia tidak pernah melupakannya.”
Pergaduhan di kasino cetus tembakan maut
Pertelingkahan di kasino itu berpunca daripada permusuhan antara dua kumpulan geng jalanan di kawasan Los Angeles, iaitu South Side Compton Crips, yang menurut Davis sendiri pernah diketuainya, dan Mob Piru, kumpulan yang dikaitkan dengan Shakur, Knight serta syarikat rakaman mereka, Death Row Records.
Anggota kedua-dua kumpulan berada di Las Vegas untuk menyaksikan perlawanan tinju merebut gelaran dunia kelas heavyweight antara Mike Tyson dan Bruce Seldon pada malam berkenaan.
Dalam tempoh beberapa jam selepas pergaduhan di kasino itu, Davis membawa anak saudaranya dan dua lagi rakan sekutu menaiki sebuah Cadillac putih untuk mencari Shakur dan Knight, dengan niat menyelesaikan perselisihan mereka.
Perkara itu berdasarkan keterangan yang diberikan Davis kepada polis dalam siasatan berasingan dan kemudian dikemukakan pihak pendakwaan ketika perbicaraan kes pembunuhan itu.
Davis berkata dia menyerahkan sepucuk pistol kepada dua lelaki yang duduk di tempat duduk belakang Cadillac itu. Salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan melalui tingkap ketika mereka menemui dan menghampiri kenderaan yang dinaiki Knight serta Shakur di jalan raya.
Shakur terkena empat das tembakan dan meninggal dunia di hospital enam hari kemudian.
Knight, yang mengalami kecederaan ringan akibat serpihan peluru yang menggesel kepalanya, kini menjalani hukuman penjara 28 tahun bagi kesalahan membunuh tanpa niat dalam kes berasingan.
Davis tidak pernah didakwa melepaskan tembakan yang membunuh Shakur. Namun, undang-undang Nevada membenarkan seseorang didakwa atas kesalahan membunuh jika terbabit sebagai peserta dalam jenayah itu.
Pihak pendakwaan tidak pernah menamakan individu yang dipercayai melepaskan tembakan maut berkenaan.
Ketiga-tiga lelaki lain yang menaiki Cadillac bersama Davis pada malam kejadian sudah meninggal dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




