Beirut: Pemimpin baharu Hizbullah pada Rabu menyatakan pihaknya boleh bersetuju dengan gencatan senjata dengan Israel, dengan syarat-syarat tertentu.
Kenyataannya itu dikeluarkan ketika Kabinet Israel bermesyuarat bagi membincangkan kemungkinan gencatan senjata.
Ketika mesyuarat itu berlangsung, Israel turut menyerang bandar Baalbek di timur Lubnan dan berkata, mereka membunuh seorang lagi pemimpin kanan Hizbullah.
Pemimpin Hizbullah, Naim Qassem menjadi ketua gerakan itu yang disokong Iran pada Selasa lalu, selepas pemimpin lama, Hassan Nasrallah dibunuh oleh Israel dalam satu serangan udara, bulan lalu.
Dalam ucapan sulungnya sejak mengambil alih, Naim menegaskan beliau akan mengikuti ‘program kerja’ pemimpin terdahulu.
Beliau berkata, Hizbullah juga mampu untuk menentang serangan udara dan darat Israel di Lubnan untuk beberapa bulan akan datang.
Namun, beliau membuka pintu kepada rundingan gencatan senjata, jika menerima tawaran daripada Israel.
“Jika Israel memutuskan bahawa mereka mahu menghentikan pencerobohan, kami katakan kami terima, tetapi di bawah syarat yang kami lihat sesuai,” katanya.
Naim menegaskan Hizbullah tidak akan ‘memohon gencatan senjata’, namun memberi amaran bahawa ia masih belum menerima cadangan yang boleh dipercayai.
Sementara itu, Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen berkata, kabinet keselamatan negara itu bermesyuarat untuk membincangkan terma yang mungkin ditawarkan bagi mendapatkan gencatan senjata.
“Terdapat perbincangan, saya fikir ia masih akan mengambil masa,” kata Cohen kepada radio awam Israel.
Menurut Saluran 12 televisyen Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengadakan perbincangan dengan menteri pada petang Selasa mengenai tuntutan Israel sebagai balasan kepada gencatan senjata selama 60 hari.
Ini termasuklah pejuang Hizbullah berundur ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel dan tentera negara Lubnan ditempatkan di sepanjang sempadan.
Mekanisme campur tangan antarabangsa akan diwujudkan untuk menguatkuasakan gencatan senjata, tetapi Israel akan menuntut jaminan ia akan mengekalkan kebebasan untuk bertindak sekiranya berlaku ancaman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




